MANCHESTER, England - Manchester City melakukan pembelian besar
pertama pada perpindahan musim ini dengan menandatangani pemain
kebangsaan Brazil, Fernandinho daripada Shakhtar Donetsk dalam usaha
mendapatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Nilai perpindahan tersebut tidak dinyatakan secara jelas, namun media
Britain melaporkan City mengeluarkan belanja sekitar 35 juta pounds
(RM169 juta) dengan kontrak lima tahun.
"Ini adalah perubahan, cabaran dan peluang yang saya nantikan begitu lama.
"Bermain dalam Liga Perdana Inggeris bersama City umpama mimpi," kata Fernandinho.
City juga dijangka menandatangani pemain sayap Sepanyol, Jesus Navas
daripada Sevilla dalam usaha kelab Liga Perdana Inggeris itu
memperkukuhkan skuadnya bagi merampas gelaran daripada Manchester United
musim depan.
Fernandinho mempunyai kelebihan taktikal melibatkan gerakan dan
kecergasannya malah pemain itu cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara
bersama Shakhtar dalam beberapa musim lalu.
Bersama City nanti Fernandinho perlu bersaing dengan beberapa pemain
tengah seperti Yaya Toure, Gareth Barry dan Javi Garcia bagi meraih
tempat dan kepercayaan calon pengurus baharu, Manuel Pellegrini.
Ketika ini pengurus warga Chile itu dalam fasa terakhir perbincangan
berhubung perpindahannya daripada Malaga bagi menggantikan Roberto
Mancini.
Mancini sebelum ini mengkritik City pada musim lalu dengan menyatakan
punca utama kelab itu gagal meraih kejuaraan disebabkan mereka tidak
menandatangani pemain hebat selepas muncul juara liga pada 2012.
Pemerolehan Fernandinho oleh City membolehkan kelab itu melakukan
kombinasi pilihan pemain dengan lebih baik melibatkan Toure di bahagian
tengah.
"Cita-cita saya adalah untuk memenangi gelaran bersama kelab ini.
"Kelab ini antara yang terkuat dan mempunyai penyokong yang hebat.
"Dapat bermain dengan kelab ini membuatkan saya sungguh gembira dan mereka amat profesional," kata Fernandinho. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan