PENYANYI Lee Hyori merupakan diva dalam industri seni Korea Selatan.
Namun, dia baru-baru ini membuat pengakuan pernah berasa terpinggir
beberapa tahun dahulu dalam industri itu.
Katanya ketika muncul dalam program televisyen Thank You:
"Sejujurnya, saya pernah rasa sukar terutamanya dua atau tiga tahun
dahulu.
"Sebelum ini, saya fikir inilah tempat dan dunia saya, tetapi ketika itu juga industri seni semakin dingin terhadap saya.
"Sampai satu tahap bila saya berjumpa dengan orang yang jauh lebih muda terdetik dalam hati, adakah mereka kenal saya?
"Perasaan tersebut dirasakan semakin kuat apabila saya menyertai program hiburan yang berbentuk pertandingan atau carta.
"Penyanyi-penyanyi bukan sahaja perlu menonjol bakat menyanyi, bahkan
kelincahan dan gaya seksi memandangkan banyak program hari ini
mengambil kira undian daripada penonton," luahnya.
Akui Hyori, dia berasa kurang yakin untuk bersaing dengan penyanyi
berkumpulan yang jauh lebih muda 10 hingga 20 tahun daripadanya.
Malah, disebabkan tekanan yang dihadapi, penyanyi berusia 34 tahun itu pernah berdepan dengan masalah ketagihan alkohol.
Namun, katanya, dengan sokongan peminat dan keluarga akhirnya dia semakin positif.
Hyori menegaskan, dia tidak perlu bersedih atau tertekan jika tidak mendapat nombor satu dalam program-program hiburan.
"Setahun ini saya menjadi lebih kuat dan positif jika tidak mendapat tempat pertama.
"Saya popular dengan program seperti itu dulu. Sudah tentunya saya akan terus menyertainya," kata Hyori.
Sikap positif Hyori ternyata berbaloi apabila dalam episod terbaharu
program Inkigayo, Hyori mampu tersenyum girang apabila dipilih sebagai
pemenang tempat pertama menerusi lagu Bad Girls menewaskan kumpulan
4Minute.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan