|
DI SEBALIK prestasinya yang menjunam dalam acara 10 meter platform
individu, tiada siapa yang menyedari betapa padatnya jadual kejohanan
yang perlu dihadapi oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong.
Selepas Kejohanan Terjun Siri Dunia (DWS) menambah dua lagi sirkit
kejohanan menjadi enam pusingan musim ini, sudah tentu keletihan dan
tumpuan Pandelela sedikit terjejas.
Laluan DWS musim ini yang bermula di Beijing pada Mac, diteruskan di Dubai pada minggu berikutnya sebelum menjengah Edinburgh.
Bulan April menyaksikan atlet kelahiran Sarawak itu mengerah tenaga
di Moscow, Rusia sebelum meneruskan saingan di Guadalajara di mana dua
sirkit DWS dilangsungkan di bandar raya Mexico itu.
Apa yang menarik, daripada 14 penerjun wanita yang menyertai acara
10m platform individu, Pandelela membuktikan kredibilitinya dengan
menjadi antara dua penerjun sahaja yang menamatkan keenam-enam sirkit
itu.
"Secara jujur, ia amat meletihkan kerana buat pertama kali tahun ini,
saya menyertai paling banyak kejohanan. Bagaimanapun, saya tidak
mempunyai alasan untuk menolak," kata penerjun berusia 20 tahun itu.
"Saya akui, persembahan saya agak terjejas tetapi demi negara, saya
perlu mengharunginya dengan apa yang termampu. Lebih banyak kamu
menyertai kejohanan, lebih banyak yang akan kamu belajar.
"Saya akui, sepanjang enam sirkit yang disertai, walaupun saya agak
letih, saya banyak belajar dan mendapat pendedahan. Jadi, pengorbanan
saya berbaloi," tambah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 London
itu.
Malahan, jurulatih, Yang Zhuliang (gambar kecil) langsung tidak bimbang dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu.
Walaupun gagal menyai- ngi rekod pencapaian yang dilakar sewaktu
menyertai Sukan Olimpik 2012 lalu serta meraih satu gangsa di DWS
Beijing, Zhuliang yakin Pandelela akan bangkit.
"Saya langsung tidak bimbang walaupun menyedari Pandelela terpaksa
melalui jadual yang begitu padat sejak beberapa bulan lalu," jelas
Zhuliang.
"Dia bukan sahaja melengkapkan sirkit kejohanan tetapi turut
menyertai Grand Prix di Amerika Syarikat. Ini menjadikan tujuh kejohanan
yang dilalui Pandelela sejak Mac hingga Mei tahun ini.
"Jangan lupa juga, dia juga bersaing dalam dua acara pada setiap
kejohanan DWS. Jadi, jangan salahkan dia kalau prestasi tidak seperti
yang diharapkan," ulas jurulatih dari China itu.
Mengakui anak didiknya itu berada dalam keletihan, Zhuliang tetap
memuji komitmen yang ditunjukkan Pandelela sepanjang kejohanan tersebut.
"Kurang daripada sebulan, kami akan berdepan Kejohanan Dunia di
Barcelona pada Julai nanti. Hanya selepas itu, kami tiada kejohanan lain
dan saya akan pastikan Pandelela mendapat rehat yang secukupnya.
"Walau apa pun keadaan Pandelela, saya mempunyai keyakinan yang amat
tinggi terhadapnya. Dia akan bangkit selepas ini," tegas Zhuliang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan