KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi meramalkan aksi final Piala
FA 2013 menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada 29 Jun ini bakal
menjanjikan suatu perlawanan yang mendebarkan.
Namun, Badhri yang juga mesra disapa sebagai Piya turut mengakui
skuad The Red Warriors kini berdepan kesukaran dalam usaha untuk
mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini.
Piya yang membantu Kelantan muncul juara Piala FA dengan menewaskan
Sime Darby 1-0 musim lalu menegaskan, mempertahankan kejuaraan adalah
lebih sukar berbanding merebut trofi.
‘Arkitek’ Kelantan itu menegaskan, Johor DT memiliki beberapa
kelebihan termasuk bekas rakan sepasukan, Norshahrul Idlan Talaha dan
Nurul Azwan Roya yang dikatakan ‘masak’ dengan corak permainan skuad
kendalian Bojan Hodak.
Piya menganggap dua bekas pemain Kelantan, Norshahrul yang dikenali
sebagai Mat Yo dan Nurul Azwan (Awe) mampu menjadi duri dalam daging
buat skuad The Red Warriors.
“Mahu menjadi juara memang senang tetapi sukar untuk mempertahankan mana-mana kejuaraan buat semua pasukan.
“Pertembungan menentang Johor DT merupakan aksi yang dinanti-nantikan
seluruh peminat bola sepak Malaysia dan saya percaya, aksi final ini
lain daripada yang lain berbanding dengan edisi lalu.
“Johor DT merupakan salah sebuah pasukan cukup kuat. Mereka memiliki
ramai bintang seperti Safiq Rahim, Safee Sali, Mat Yo dan Awe serta
beberapa lagi pemain handalan lain.
“Saya fikir Mat Yo dan Awe memberikan ancaman cukup besar kepada
Kelantan dan kelibat mereka harus diberikan perhatian lebih rapi untuk
aksi final itu.
“Begitupun, kami terdesak untuk mengekalkan trofi Piala FA dan apa
yang pasti, kami berusaha mati-matian untuk muncul juara Piala FA sekali
lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Piya menggesa rakan-rakan sepasukan
mengambil iktibar selepas kekalahan 0-2 kepada Harimau Selatan itu dalam
saingan Liga Super pada 22 Mei lalu.
Piya mengakui, Kelantan yang dilihat gagal mempertahankan kejuaraan
Liga Super akan berjuang habis-habisan untuk menjulang sekurang-kurang
satu trofi pada musim ini.
“Dalam saingan liga musim ini, Kelantan dilihat tidak memiliki
keberkesanan di bahagian serangan selepas Mat Yo dan Awe berhijrah ke
Johor DT.
“Kejuaraan Liga Super kami gagal pertahankan tetapi seperti saya
katakan sebelum ini, kami mahu menjulang Piala FA sebagai pengubat
kekecewaan gagal mempertahankan kejuaraan Liga.
“Apa yang pasti, kami mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada
penyokong-penyokong skuad The Red Warriors dengan menjulang Piala FA
musim ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan