BARCELONA, Sepanyol - Neymar menjadi pemain kelapan termahal dalam
sejarah bola sepak selepas melengkapkan perpindahan ke Barcelona dengan
kontrak berjumlah 57 juta euro (RM231 juta) kelmarin.
Penyerang muda Brazil itu akan bergandingan dengan Pemain Terbaik
Dunia, Lionel Messi di posisi serangan selepas menandatangani kontrak
selama lima tahun bersama presiden kelab, Sandro Rosell.
Neymar, 21, membuat keputusan untuk menyertai Barcelona berbanding
Real Madrid selepas dua tahun kedua-dua kelab gergasi Liga Sepanyol itu
cuba mendapatkannya.
Naib Presiden Barcelona, Josep Bartomeu mendedahkan bahawa kelab itu
sepatutnya membayar 40 juta euro (RM162 juta) tetapi gangguan daripada
beberapa kelab lain menyebabkan jumlah tersebut meningkat.
Untuk rekod, Cristiano Ronaldo, Zinedine Zidane, Zlatan Ibrahimovic,
Kaka, Luis Figo, Hulk dan Fernando Torres antara pemain yang dibayar
lebih tinggi daripada Neymar.
Perpindahan termahal yang dilakukan Barcelona sebelum ini adalah
ketika membayar 45 juta euro (RM182 juta ) kepada Inter Milan bagi
mendapatkan Ibrahimovic selain melepaskan penyerang, Samuel Eto pada
2009.
Neymar enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai jumlah bayaran tersebut.
"Tidak tetapi saya bersyukur kerana Barcelona merealisasikan impian
zaman kanak-kanak saya dan bersama pemain idola saya," kata Neymar.
Sebaik melengkapkan perpindahan itu, Neymar menjejakkan kaki buat
pertama kalinya di Stadium Nou Camp dengan memakai jersi baharu
Barcelona yang tertera namanya 'Neymar Jr'.
"Saya berasa sangat gembira dan tidak sabar untuk menjadi seorang
pemain Barcelona, sekali gus melengkapkan impian saya," kata Neymar yang
membanjiri stadium tersebut.
- Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan