|
BEKAS pemain skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abddullah mahu
ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal bertindak lebih
berani untuk memberikan kepercayaan kepada muka-muka baharu.
Namat berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan kedua skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan di Australia.
Semalam, anak-anak buah Rajagobal tewas 0-2 kepada kelab Australia,
Marconi Stallions dalam aksi persahabatan terakhir mereka di negara itu.
Pada aksi persahabatan sulung minggu lalu, Harimau Malaya tewas 2-3
kepada Canberra FC sebelum berjaya membenam Sydney Olympic FC 4-0 Selasa
lalu.
Namat memberitahu, keputusan ketiga-tiga perlawanan itu tidak harus
dijadikan ukuran, sebaliknya Rajagobal perlu mencari satu ramuan terbaik
dalam usaha memantapkan Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala
Asia 2015 menentang Bahrain Oktober depan.
Beliau percaya skuad kendalian Rajagobal akan bertambah ampuh jika
bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu memberikan kepercayaan penuh
kepada pemain-pemain baharu.
Namat yakin, persaingan sihat akan berlaku sesama pemain, sekali gus
memudahkan Rajagobal untuk memilih pemain-pemain lebih berkualiti.
“Rajagobal sememangnya seorang jurulatih yang berkaliber. Cuma dalam
pemerhatian saya, beliau kerap memanggil pemain-pemain yang sama.
“Saya tidak mahu menidakkan taktikal Rajagobal, tetapi jika peluang
itu diberikan kepada pemain-pemain yang lebih menonjol, sudah tentu
skuad kita memiliki sedikit kelebihan.
“Jadi pada pendapat saya, Rajagobal harus berani untuk memanggil
lebih ramai pemain yang mempamerkan aksi konsisten dalam saingan Liga
Malaysia (Liga M).
“Secara tidak langsung, beliau akan mendapat lebih ramai pemain
alternatif untuk diketengahkan,” kata Namat kepada Kosmo! semalam.
Skuad Harimau Malaya dijangka pulang ke tanah air petang Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan