PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menawarkan insentif sebanyak
RM1,000 kepada individu yang berjaya menangkap mana-mana penyokong yang
didapati tidak berdisiplin pada aksi final Piala FA antara Kelantan
dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil 29
Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja
Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada
mana-mana penyokong yang didapati cuba merosakkan suasana harmoni pada
perlawanan akhir itu nanti.
“FAM telah bersetuju untuk memberikan insentif kepada mana-mana
penyokong yang berjaya melapor atau menangkap penonton yang disahkan
membaling atau melontar barang-barang yang tidak dibenarkan seperti
mercun dan flare di kawasan stadium nanti.
“Sekiranya pihak FAM atau PDRM berjaya menangkap mereka, kami akan
memberikan insentif sebanyak RM1,000 kepada penonton yang berjaya
memberikan maklumat kepada FAM,” kata Hamidin pada sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir Piala
FA di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Tambah Hamidin, FAM dengan kerjasama PDRM juga akan melantik 100
penyokong daripada setiap pasukan sebagai marshall dalam aksi final itu
nanti.
Dalam perkembangan sama, Hamidin mengumumkan sebanyak 87,000 tiket
akan dijual dan Kelantan akan bertindak ebagai pasukan tuan rumah untuk
aksi final Piala FA tersebut.
“Kita telah memutuskan beberapa perkara. Pertama, perlawanan akhir
Piala FA 2013 diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan berlangsung
pada pukul 8.45 malam.
“Kedua, sebanyak 87,000 tiket akan dikeluarkan pada 24 Jun dan
kedua-dua pasukan yang beraksi di final, masing-masingnya akan mendapat
peruntukan 30,000 tiket.
“Kedua-dua pasukan boleh menjual tiket di tempat masing-masing bermula 25 Jun.
“Baki tiket selebihnya, ia akan dijual di Stadium Nasional bermula 28 Jun sehingga ke hari perlawanan.
“Setiap seorang hanya dibenarkan membeli empat tiket dan harga tiket
tidak dinaikkan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini dan ia kekal
pada harga RM40 untuk dewasa serta RM5 bagi kanak-kanak.
“Tiket itu dilengkapkan dengan sistem pengesan ultraungu apabila
syarikat bertanggungjawab mengendali tiket itu bersetuju untuk
mengeluarkan tiket sedemikian bagi menggelak isu ‘ulat tiket’,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan