|
LONDON - Penjaga gawang Liverpool, Pepe Reina mempertahankan
keputusan Luis Suarez yang mahu meninggalkan Anfield sebelum musim
perpindahan pemain ditutup, Ogos depan.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu mengakui bahawa dia gembira jika penyerang Uruguay tersebut kekal di Merseyside.
Begitupun Reina berkata, dia memahami keputusan rakan sepasukannya itu.
Suarez 'menggegarkan' kem Liverpool apabila dia mendedahkan mahu meninggalkan skuad The Reds dengan alasan tidak berpuas hati dengan layanan media di England.
"Kami telah melihat sebelum ini bahawa mereka (pihak media) seperti tidak menyenangi dia dan keluarganya.
"Secara jujur, saya suka Suarez kekal di Leverpool tetapi saya juga
faham kenapa dia mahu meninggalkan kami dan menyertai kelab yang besar.
"Apabila saya bercakap besar, ia tidak bermakna kelab itu hebat
tetapi saya bermaksud cabaran yang akan diterima untuk memburu gelaran,
bermain pada kempen Liga Juara-Juara dan beraksi dengan kelab-kelab
terbaik.
"Ia juga kerana situasinya di sini dan kerana layanan daripada pihak
media. Memang perkara seperti itu akan menyukarkan semua pemain," kata
Reina.
Pada musim perpindahan kali ini, Reina turut dilaporkan akan keluar
daripada kelab tersebut bagi menyertai Barcelona atau Arsenal.
Bagaimanapun, pemain Sepanyol yang kini melakukan persiapan bersama
skuad antarabangsa untuk menghadapi Piala Konfederasi 2014 menegaskan,
spekulasi mengenai masa depannya tidak akan mengubah kemahuannya.
"Spekulasi seperti itu tidak pernah mengganggu saya, fikiran saya seratus peratus di Liverpool.
"Kami tidak boleh mengawal spekulasi tetapi saya boleh memberi
jaminan yang saya akan kekal di Liverpool," tambah Reina. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan