Sabtu, 8 Jun 2013

Ronaldo optimistik



RONALDO yakin dia akan mencapai persetujuan bersama Real berhubung pembaharuan kontraknya.


LISBON – Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo yakin dia akan mencapai persetujuan untuk memperbaharui kontraknya bersama kelab Liga Sepanyol itu.

Kapten Portugal itu menyertai Real daripada Manchester United pada 2009 dengan rekod bayaran tertinggi melebihi AS$118.98 juta (RM368.72 juta).

Begitupun, Real yang gagal memenangi gelaran utama musim lepas dikejutkan dengan spekulasi bahawa Ronaldo yang akan tamat kontrak pada Jun 2015 bakal meninggalkan kelab Sepanyol itu.
“Saya baik, tenang dan tidak risau mengenainya (kontrak). Saya tahu, kami akan mencapai perjanjian baharu nanti,” kata Ronaldo kepada pemberita.

Terdahulu, presiden kelab, Florentino Perez pernah menyifatkan Ronaldo sebagai seorang pemain yang tidak ternilai.

Perez berkata, bintang itu akan kekal dan membantu Real meraih gelaran ke-10 Liga Juara-Juara yang kali terakhir menjulang tfori itu pada 2002.

Pemain berusia 28 tahun itu membantu Portugal menewaskan Rusia 1-0, sekali gus menghidupkan peluang mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014 semalam.

Dalam pada itu, Ronaldo enggan memberi komen apabila ditanya mengenai kenyataan bekas jurulatih, Jose Mourinho yang mendakwa dia tidak boleh menerima sebarang kritikan. – Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan