Sabtu, 15 Jun 2013

Ronaldo atau Bale?

LONDON - Manchester United dilaporkan sudah bersedia untuk mengatasi rekod perpindahan dunia dalam misi meneruskan kegemilangan skuad The Red Devils selepas ketiadaan Alex Ferguson.

Pemilik United, Malcolm Glazers bakal menyediakan peruntukan yang besar kepada pengurus baharu, David Moyes untuk memburu khidmat penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo atau bintang Tottenham Hotspur, Gareth Bale.

Ronaldo, 28, pernah memberikan bayangan untuk kembali ke pangkuan bekas pasukannya itu dan menegaskan bahawa masa depannya bersama kelab gergasi Sepanyol itu masih tidak menentu.

Bagaimanapun, sekiranya dia bersetuju untuk melanjutkan kontrak bersama Real, Moyes akan beralih arah kepada Bale dan United bersedia untuk membayar sebanyak £85 juta (RM419 juta) kepada Pemain Terbaik Liga Perdana England musim lalu itu.

"Segala laporan mengenai lanjutan kontrak saya bersama Real adalah tidak benar," kata Ronaldo yang menjadi pemain buruan utama United.

Kenyataan penyerang kelahiran Portugal itu bertentangan dengan Presiden Real, Florentino Perez yang sebelum ini mendakwa, Ronaldo akan kekal di bumi Sepanyol.

"Saya yakin Ronaldo akan bersara di Real kerana ia merupakan amalan kami (untuk pemain-pemain bintang)," kata Perez.

Ronaldo masih memiliki baki kontrak selama dua tahun, namun kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa dia mahu meninggalkan Real.

Kini, United sudah bersedia untuk memecahkan rekod perpindahan dunia sebanyak £80 juta (RM394 juta) ketika menjual Ronaldo kepada Real pada 2009.

Sementara itu, Spurs pula terdesak untuk mengekalkan Bale, 23, tetapi mereka dijangka tidak dapat menolak tawaran lumayan tersebut.

Bintang Wales itu turut dikaitkan dengan Real dan Paris St. Germain, namun United percaya mereka boleh mendapatkan Ronaldo sekiranya Bale berhijrah ke Sepanyol. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan