BRASILIA - Bintang muda Brazil, Neymar tidak gentar untuk menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013.
Neymar, 21, menyuarakan keyakinan itu menjelang aksi pembukaan
Kumpulan A menentang Jepun di Stadium Nasional, Brasilia awal pagi esok.
Neymar yang menandatangani kontrak dengan Barcelona baru-baru ini,
bakal menjadi tumpuan terutamanya selepas gagal menjaringkan gol dalam
sembilan perlawanan terakhir bersama pasukannya.
Bagaimanapun, Neymar berkata, dia kini fokus 100 peratus untuk membantu pasukan meraih kejayaan.
"Tidak kira sama ada saya menjaringkan gol atau tidak, ia tidak
memberi sebarang makna. Apa yang lebih penting ialah saya bangga untuk
bersama skuad Brazil.
"Saya tidak akan beraksi bersama pasukan kebangsaan seperti ketika
saya bersama Santos, di mana semua orang mengenali saya. Di sini
(Brasilia), mereka masih mahu mengenali saya.
"Kami masih tercari-cari kekuatan kami dan saya akan menyertai satu
kejohanan penting dalam karier. Saya berjanji untuk terus memperbaiki
prestasi dalam setiap sesi latihan," kata Neymar.
Awal pagi esok, Neymar akan menyarung jersi No. 10 yang pernah dipakai pemain legenda Santos dan Brazil, Pele.
Bagaimanapun, Neymar berkata, dia tidak merasai tekanan tambahan selepas diberi penghormatan menyarung jersi No. 10.
"Saya rasa, nombor jersi tidak penting berbanding jersi Brazil," katanya.
Selain Jepun, Brazil turut diundi dengan Mexico dan Itali, manakala
Sepanyol, Uruguay, Tahiti dan Nigeria dalam Kumpulan B. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan