Isnin, 3 Jun 2013

Sahabat menjadi tunang




KATA orang kalau hati sudah bertaut, tidak perlulah lama-lama menjalinkan hubungan. Percintaan selepas berkahwin lebih indah jika disertakan dengan niat yang ikhlas.

Itulah kata-kata yang dipegang oleh pelakon berdarah kacukan Pakistan-Melayu-Cina, Fouziah Gous sehingga ramai yang terkejut kerana selepas dua bulan mendedahkan yang dia mempunyai kekasih hati, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk mengikat tali pertunangan.

Sementelah, kisah cinta mereka sebelum ini tercalar dengan dakwaan kononnya Fouziah merampas jejaka berusia 30 tahun itu daripada seorang rakan pelakon lain.

Enggan melayan dakwaan yang dianggap satu tindakan kurang bijak rakan pelakonnya, Fouziah meneruskan hubungan yang terjalin dengan sebuah cita-cita yang besar.

Bagi Fouziah, setiap orang mempunyai masa silam dan kegagalan dalam percintaan, justeru dia beranggapan semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka terhadap fasa baharu kehidupan masing-masing.

Oleh itu, bertempat di Bora Asmara Penchala, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, Sabtu lalu telah diadakan majlis pertunangan Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd. Gous, 30, bersama jejaka pilihannya, Md Zhafran Md Yusof, 30, dengan penuh sederhana tetapi meriah.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 500 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga daripada kedua-dua belah pihak, kenalan rapat dan pengamal media.

PASANGAN Fouziah dan Zhafran berdebar menanti hari pernikahan mereka yang dijangka berlangsung pada September ini.


Bertemakan warna putih Fouziah atau lebih mesra disapa Pooja berkata, dia amat bersyukur kerana perasaan berdebarnya sebelum mahu melangsungkan pertunangan kini telah selesai mengikut apa yang dirancangkan.

"Sebagai selebriti saya sudah biasa berjalan di karpet merah sambil menjadi tumpuan lensa kamera tetapi perasaan pada hari ini (hari pertunangan) terasa begitu berlainan sekali. Perasaan gemuruh itu buat saya terasa seperti menggigil-gigil.

"Tetapi syukurlah kerana semuanya telah selesai. Majlis pada hari ini banyak dibantu ahli keluarga termasuk Zhaf (Zhafran) sendiri. Terima kasih tidak terhingga buat mereka yang membantu," ujarnya yang mengenakan pakaian daripada pereka busana, Zery Zamry.

Pada majlis itu, Fouziah menerima lima dulang hantaran berupa tepak sireh, manisan, set kosmetik berserta wangian, kain dan kamera.

Pihak lelaki pula menerima tujuh set dulang hantaran iaitu sireh junjung, sepersalinan baju Melayu, selembar songket, sebuah beg, set wangian, coklat berserta buah-buahan dan senaskhah al-Quran.

Sementara itu, acara kemuncak menyaksikan adat menyarung cincin ke jari Fouziah sebagai tanda diri pelakon yang juga pernah bergelar pramugari itu menjadi tunangan kepada anak Normah Ali, bakal ibu mertuanya.

Dahulu sahabat, kini tunang
Dalam pada itu, apabila diminta bercerita apakah yang membuatkan Fouziah tidak mengambil masa yang panjang untuk mengikat tali pertunangan bersama Zhafran, dengan tenang Fouziah memberitahu, tunangnya itu sering membuatkannya rasa yakin.

"Dahulu perjumpaan kami atas dasar perniagaan sarang burung walit. Pada masa itu tidak pernah timbul apa-apa perasaan. Semua ini muncul secara kebetulan.

"Sampailah sekitar Mac lalu, kami mula rapat dan tidak sangka perkenalan singkat itu telah membuat kami mengambil satu kata putus iaitu ingin bertunang seterusnya bernikah pada tahun ini juga," jelasnya.

Biarpun hubungan yang dibina dalam tempoh singkat tetapi Fouziah percaya bercinta selepas kahwin lebih indah, malah dia juga tidak mahu membuang masa dengan bercinta tanpa ada satu kepastian.

ANTARA kaum keluarga kedua-dua belah pihak yang hadir pada majlis pertunangan Fouziah dan Zhafran di Restoran Bora Asmara pada Sabtu lalu.


Sementara itu, sifat dan keyakinan yang diberikan Zhafran juga membuatkan pelakon drama Dendam Sarakit itu percaya lelaki tersebut merupakan pilihan yang tepat.

Fouziah turut menambah, sejujurnya apabila pertama kali berjumpa dengan Zhafran, tidak timbul apa-apa perasaan langsung.

"Apabila saya tengok dia, saya tiada perasaan langsung terhadap dia (gelak). Betullah kata orang, kalau kita cakap kita tak suka seseorang tu, suatu hari nanti kita pasti akan jatuh cinta padanya dan itu yang terjadi kepada saya," ujarnya.

September
Buah hati Fouziah, Zhafran yang turut hadir dengan mengenakan pakaian warna sedondon merupakan seorang ahli perniagaan dan perunding kewangan.

Menurut Zhafran, apa yang membuatkannya begitu tertarik dengan Fouziah kerana sifatnya yang periang dan sering berada di belakangnya untuk menyokong segala perkara yang dilakukan.

"Dia (Fouziah) sangat periang. Apabila bersamanya saya seperti tiada masalah. Dia sangat transparent. Saya betul-betul menjadi diri sendiri apabila setiap kali bersamanya," jelasnya.

Dalam pada itu, kedua-dua pasangan telah mengambil kata putus yang mereka bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Pasangan itu sepakat tidak akan menangguhkan perkahwinan dan akan diadakan pada tahun ini juga.

Bagaimanapun, kedua-dua keluarga pasangan yang dirai telah memutuskan untuk merahsiakan mengenai perbincangan selanjutnya serta jumlah hantaran daripada pengetahuan umum.

Dalam majlis itu, pihak perempuan diwakili oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali manakala pihak lelaki diwakili oleh rakan baik keluarga Zhafran iaitu Datuk Ahmad Kamal Abdullah.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan