PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal enggan 'mengibarkan
bendera putih', malah optimis anak-anak buahnya masih mampu menyambar
slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia nanti.
Ketika ini, skuad negara menduduki tempat ketiga Kumpulan D selepas
tumpas 0-2 kepada Qatar (6 Februari) sebelum kembali bangkit menumpaskan
Yemen 2-1 di laman sendiri pada 22 Mac lalu.
"Atas kertas, skuad negara merupakan pasukan terbaik Asia Tenggara
(dalam kempen kelayakan Piala Asia) setakat ini apabila berjaya mengutip
tiga mata.
"Sebab itu saya mahu berdepan pasukan yang kuat di Australia sebagai persiapan skuad kebangsaan.
"Jadi, saya ada masa membentuk pasukan sebelum berdepan Bahrain pada Oktober depan," kata Rajagobal baru-baru ini.
Malam tadi, skuad negara telah berlepas ke Australia sebagai
persiapan awal mengharungi baki aksi kelayakan Piala Asia dan hanya
kembali ke tanah air pada 15 Jun ini.
Terdapat enam muka baharu yang turut 'terbang' ke bumi kanggaru kali
ini termasuk arkitek muda negara, Nazmi Faiz Mansor (Selangor PKNS),
Nurul Azwan Roya (Johor Darul Takzim), Faiz Subri (Kelantan), Nazrin
Nawi (Negeri Sembilan), Saiful Nizam Miswan (Pahang) dan Nizad Ayub
(Selangor PKNS).
Namun, empat pemain iaitu kapten Kelantan, Badhri Radzi, Bunyamin
Omar (Selangor), Khyril Muhymeen Zambri (Kedah) dan Farid Ramli (Johor
Darul Takzim) terpaksa digugurkan kerana kecederaan.
Sepanjang di Australia nanti, skuad negara juga bakal menguji Pilihan
Canberra (6 Jun), Marconi FC (11 Jun) dan Sydney United pada 13 Jun.
Bagi baki saingan kempen kelayakan Piala Asia pula, Harimau Malaya
bakal melayan kunjungan Bahrain (15 Oktober) dan Qatar (19 November) di
Stadium Nasional, Bukit Jalil selain sekali lagi berdepan Bahrain (15
November) dan Yemen (5 Mac 2014) di tempat lawan.
Sebelum itu, skuad kebangsaan terlebih dahulu bakal berdepan dua
pasukan terkemuka, Chelsea dan Barcelona dalam aksi persahabatan di
Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 21 Julai dan 10 Ogos depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan