SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin
Ahmad menganggap kenyataan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan beliau sebagai punca masalah
dalaman FAM itu lebih kepada ‘serangan peribadi’.
Azzuddin menegaskan, beliau tidak mahu memanjangkan isu tersebut
sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan peminat dan
pemerhati sukan tanah air.
“Saya memang pelik dan hairan. Kenyataan (Annuar) itu lebih bersifat serangan peribadi.
“Jika benar saya punca masalah dalaman FAM, kenapa Presiden FAM
(Sultan Ahmad Shah) masih memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya?
“Hanya Presiden FAM yang berkuasa untuk melantik atau memecat
Setiausaha Agung FAM dan saya masih mendapat perkenan daripada Tuanku,”
kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Annuar sebagai berkata bahawa
kewibawaan FAM semakin dikecam disebabkan Azzuddin gagal memainkan
peranan dalam urusan urus setia persatuan tersebut.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang
terhadap Annuar mengenai kenyataan tersebut, Azzuddin berkata: “Kita
tunggu dan lihat.”
Dalam perkembangan lain, Azzuddin tidak berminat untuk mengulas
kenyataan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri
Shahidan Kassim yang mencabar FAM memecat beliau daripada menerajui
persatuan negeri itu.
Shahidan mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas berang dengan FAM
yang menggantungnya, tetapi tiada seorang pegawai badan induk itu yang
bertanyakan khabar mengenai PFA.
Bekas Menteri Besar Perlis itu turut ‘mengeluh’ kerana terpaksa
mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai gaji pemain skuad Singa Utara
selain meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.
Untuk rekod, Shahidan digantung 30 bulan dan didenda RM39,000 selain
dilucutkan status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak
Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan