Jumaat, 7 Jun 2013

Sturridge sandaran utama Liverpool



STURRIDGE (kanan) dijangka pulih sepenuhnya sebelum musim baharu Liga Perdana England membuka tirainya, Ogos depan.


LONDON - Liverpool optimis penyerangnya, Daniel Sturridge mampu pulih sepenuhnya sebelum musim baharu Liga Perdana England membuka tirainya, Ogos depan.

Bekas penyerang Chelsea berusia 23 tahun yang menyertai Liverpool pada Januari lalu, mengalami kecederaan serius di bahagian ligamen buku lali ketika beraksi bersama skuad kebangsaan England pada perlawanan persahabatan menentang Republik Ireland di Stadium Wembley minggu lalu.

Bagaimanapun, pihak perubatan Liverpool masih menunggu keputusan rasmi mengenai tahap kecederaan yang dialami penyerang muda England itu.

"Liverpool berharap Sturridge mampu pulih sebelum kempen Liga Perdana 2013/14 bermula.
"Pakar perubatan mengesahkan bahawa buku lali Sturridge terseliuh dan mereka perlu menunggu bengkak di bahagian itu surut sebelum melakukan pemeriksaan terperinci," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi Liverpool kelmarin.

Untuk rekod, Sturridge yang dibeli dengan harga £12 juta (RM57.8 juta) pada Januari telah menjaring 11 gol sepanjang 16 penampilan.

Dalam pada itu, skuad The Reds juga terdesak untuk memastikan Sturridge cergas sepenuhnya sebelum sepak mula musim baharu ini kerana ketiadaan penyerang senior bagi menggalas posisi penyerang utama pasukan tersebut.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers juga pasti pening selepas tidak dapat menurunkan penyerang utama, Luis Suarez yang masih dalam tempoh penggantungan sebanyak 10 perlawanan kerana menggigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.

Sementara itu, Andy Caroll yang dipinjam kepada West Ham United musim lalu pula sudah mengesahkan perpindahan kekal bersama kelab skuad The Hammers dengan yuran perpindahan sekitar £15 juta (RM72.2 juta).

Kini, Rodgers hanya mampu berharap proses bidaan bernilai £8 juta (38.5 juta) ke atas penyerang Celta Vigo, Iago Aspas, 25, minggu ini berjalan lancar, sekali gus mampu memberi kekuatan tambahan kepada jentera serangan skuad The Reds. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan