LOS ANGELES - Tiger Woods kembali merampas status sebagai atlet sukan
yang menerima pendapatan paling tinggi di dunia dalam senarai yang
dikeluarkan oleh majalah Forbes semalam.
Sebelum ini, bintang golf itu menduduki tempat teratas senarai
tersebut selama 11 tahun berturut-turut sebelum kedudukannya jatuh ke
tangga ketiga pada 2012.
Namun, kali ini majalah Forbes meletakkan semula namanya di
tangga teratas selepas dia menerima AS$78.1 juta (RM241.6 juta) sebagai
hadiah kemenangan sepanjang tahun lalu termasuk penajaan iklan, bayaran
penampilan dan reka cipta lapangan golf.
Woods mula mempamer kebangkitan dalam karier golfnya sepanjang 12
bulan lalu sehingga menyaksikan dia mengumpul hadiah kemenangan AS$13.1
juta (RM40.5 juta), dua kali ganda daripada jumlah pada tahun
sebelumnya.
Bintang tenis, Roger Federer di tempat kedua dengan AS$71.5 juta
(RM221.2 juta) manakala atlet bola keranjang Los Angeles Lakers, Kobe
Bryant di tempat ketiga, AS$61.9 juta (RM191.5 juta).
LeBron James di tempat keempat dengan AS$59.8 juta (RM185 juta) dan pemain quarterback Saints, Drew Brees melengkapkan lima senarai teratas dengan pendapatan AS$51 juta (RM157.7 juta).
Atlet menerima gaji paling mahal tahun lepas, Floyd Mayweather daripada sukan tinju pula menduduki tempat ke-14. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan