Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, selaku Presiden PBNJ yang merupakan ahli gabungan FAM, Tunku Ismail bukan sahaja berhak bersuara malah harus berbuat demikian demi kebaikan semua pihak.
"Hari ini (semalam) Tuanku sekali lagi meluahkan perasaan baginda. Saya dapat memahaminya kerana saya sendiri dan Kelantan pernah melalui episod yang sama," katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, biarpun FAM mengeluarkan amaran kepada PBNJ supaya tidak membuat sebarang kenyataan media mengkritik FAM, namun itu tidak menghalang Tunku Ismail daripada berterusan menegur badan induk bola sepak negara itu.
Dalam kenyataannya kelmarin, Tunku Ismail dengan lantang membangkitkan beberapa perkara termasuk mengulangi teguran meminta FAM berlaku telus dan adil.
Tunku Ismail turut menegaskan, kritikan dibuat adalah kerana baginda cintakan bola sepak, selain mahu mengetengahkan isu berkaitan sukan tersebut dan bukannya bertujuan membelakangkan mana-mana individu atau sebab berminat memegang jawatan dalam FAM.
Annuar turut mencadangkan ahli gabungan mengemukakan usul supaya mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) mengikut peraturan sedia ada.
Katanya, isu-isu yang menjadi pertikaian boleh dibawa ke EGM secara teratur dan ahli boleh putuskan segala dasar secara kolektif.
"Dengan cara itu kita boleh menentukan agar FAM melaksanakan arahan EGM. Kongres juga akan diadakan tidak lama lagi, tapi kongres biasanya dikendalikan mengikut agenda dan kemahuan urusetia.
"EGM cara paling baik. Ia perlukan usul daripada satu perlima ahli sahaja. Masanya sudah tiba soal FAM dibincangkan secara serius. Polimek tidak ke mana.
"Pada saya, bola berada di kaki ahli gabungan dan masa untuk kita menjaringkan gol." ujarnya.
Sementara itu, Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu menyokong tindakan Tunku Ismail yang membuat teguran terbuka.
Presidennya, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, FAM wajar mengambil serius teguran tersebut demi kepentingan bola sepak negara.
"Bagi saya teguran baginda bukan bersifat peribadi tetapi bagi melihat FAM bergerak secara telus tanpa mengamalkan dwi standard dalam membuat keputusan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan