MANCHESTER - Bintang penyerang England, Wayne
Rooney dijangka kekal di Manchester United biarpun meminta untuk
meninggalkan Old Trafford sebelum tamat hujung musim lalu.
Kedudukan Rooney masih tergantung kerana pemain itu belum bertemu pengurus baharu United, Davis Moyes yang sedang bercuti.
Rooney, 27, yang sebelum ini ada berbincang dengan Moyes dan akan
bersemuka dengan pengurus baharu itu sebaik sahaja dia kembali daripada
percutian di Amerika Syarikat, minggu depan.
Namun akhbar Britain, Starsport mendedahkan, hasil rundingan
awal dengan Moyes, Rooney berazam untuk kekal di United dan membantu
kelab itu memburu lebih banyak trofi musim depan.
Malah, United turut memberi isyarat bahawa penyerang mereka itu akan
kekal di Old Trafford selepas memperkenalkannya sebagai model utama
jersi baharu kelab untuk musim depan.
Berita terbaharu ini memberi tamparan kepada beberapa pasukan yang
sudah menyuarakan minat untuk mendapatkan pemain itu seperti Paris
Saint-Germain, Juventus, Chelsea dan Arsenal.
Menurut Starsport, sebab utama mengapa Rooney berat hati untuk
berpindah adalah kerana enggan membesarkan anak-anaknya yang masih
kecil di luar England.
Dia juga tidak berminat untuk menyertai mana-mana musuh United dalam Liga Perdana.
Rooney masih memiliki kontrak dua tahun bersama United yang membolehkan dia menikmati gaji mingguan 250,000 pound (RM1.19 juta).
Bekas bintang Everton itu sedar, meninggalkan Old Trafford adalah
satu perjudian dan dia tidak mungkin dapat menikmati gaji yang jauh
lebih besar jika menyertai pasukan lain.
Rooney mengharungi musim mengecewakan bersama United sejak kehadiran penyerang Belanda, Robin van Persie di Old Trafford.
Dia sering disisih daripada perlawanan utama, termasuk ketika mereka disingkirkan oleh Real Madrid dalam Liga Juara-Juara.
Namun dua rakan rapatnya, Gary Neville dan Rio Ferdinand menasihati Rooney agar tidak meninggalkan United. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan