Khamis, 6 Jun 2013

Van Persie optimistik



VAN PERSIE (tengah) dikerumuni para peminat sebaik tiba di Jakarta, Indonesia kelmarin.


LONDON - Penyerang Belanda, Robin van Persie yakin Manchester United mampu melakar kejayaan yang lebih besar meskipun tanpa kehadiran pengurus, Alex Ferguson.

"Saya mempunyai perasaan positif bahawa kami mampu memberikan aksi yang lebih baik dan mendakap banyak trofi pada masa akan datang.

"Saya telah mengharungi musim yang menakjubkan bersama United dan kini, tidak sabar untuk menempuh cabaran baharu (tanpa Ferguson).

"Musim ini cukup hebat buat kami tetapi kami tidak tahu apa yang bakal berlaku selepas ini.
"Namun, saya percaya ia musim yang hebat biarpun sangat mencabar," kata van Persie.

Van Persie yang membantu United mendakap trofi Liga Perdana England selepas berhijrah dari Arsenal berharap dapat beraksi di bawah kendalian Ferguson untuk tempoh yang lebih lama.

Begitupun, impiannya tidak kesampaian apabila Ferguson mengambil keputusan untuk bersara dan tempatnya digantikan bekas pengurus Everton, David Moyes.

"Jika diberikan pilihan, sudah tentu saya mahu Ferguson kekal untuk beberapa tahun lagi namun, saya menghormati keputusan beliau.

"Walaupun hanya setahun di bawah tunjuk ajar Ferguson, saya tetap berbangga," kata van Persie.
Van Persie bakal memperkuatkan Belanda menjelang aksi persahabatan berdepan Indonesia di Jakarta hari ini sebelum berdepan China minggu depan.- Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan