![]() |
RAJAGOBAL (kiri) memerlukan keajaiban bagi memulihkan semula reputasi Harimau Malaya yang makin tercalar.
|
‘TARIKH luput’ Datuk K. Rajagobal sebagai pengendali Harimau Malaya dilihat semakin hampir menjelang 31 Disember depan.
Ketika ini, hanya slot ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia
sahaja dilihat satu-satunya ‘talian hayat’ bagi pengendali berusia 57
tahun itu untuk terus mengendalikan skuad Harimau Malaya.
Jika gagal, Rajagobal sudah boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’
gara-gara tidak melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Bagi pengkritik bola sepak tempatan, Rizal Hashim, beliau berharap
Rajagobal bersedia menerima hakikat jika ‘jodoh’ beliau sebagai
pengendali Harimau Malaya akhirnya terlerai penghujung tahun ini.
“Ini lumrah dalam bola sepak. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah.
“Beliau sudah bergelar Datuk dan berjaya membantu negara mendakap trofi Piala Suzuki AFF dan emas temasya Sukan SEA.
“Sudah tiba masanya beliau kena terima hakikat jika kontraknya tidak lagi disambung.
“Saya juga percaya Rajagobal cukup profesional melaksanakan
tanggungjawabnya mengendalikan Harimau Malaya sehingga kontraknya tamat
31 Disember depan,” kata Rizal kepada Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Rizal juga mempertahankan pendedahan awal Timbalan
Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung masa depan
Rajagobal baru-baru ini.
“Ia satu perkara yang normal... tiga bulan sebelum kontrak mana-mana
jurulatih tamat, beliau perlu dimaklumkan supaya jurulatih tersebut
mencari hala tuju termasuk pasukan baharu selepas ini.
“Saya tidak menganggap pengumuman itu menyebabkan Rajagobal bersikap
‘lepas tangan’ bagi menghadapi baki saingan kempen kelayakan Piala Asia.
“Tidak mustahil ia dianggap satu cabaran buat beliau memberikan yang terbaik pada ‘masa kecederaan’,” katanya.
Dalam pada itu, Rizal turut menggesa FAM supaya segera mencari
pengganti Rajagobal sekiranya kontrak jurulatih itu tidak disambung
selepas ini.
“Ini kerana masih ada satu lagi baki aksi kelayakan Piala Asia berdepan Yemen (5 Mac 2014).
“Bagi saya, sudah tiba masanya skuad kebangsaan kembali dikendalikan
jurulatih asing selepas kali terakhir diterajui Bertalan Bicskei
(2004-2005) sebelum ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan