SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin
Mohd. Amin memberikan amaran kepada mana-mana pihak yang berminat untuk
menjadi penganjur perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya pada
masa akan datang.
Hamidin berkata, mereka perlu lebih peka dengan persiapan-persiapan seperti venue, isu kandungan kontrak dan sebagainya.
Bagi mengelak penganjur 'memijak kepala' badan induk bola sepak
negara itu, Hamidin menegaskan bahawa mereka akan memperkenalkan satu
perjanjian dengan pihak terbabit supaya tidak melanggari kuasa FAM.
FAM akan lebih berhati-hati dan tidak memandang ringan mengenai
insiden pertukaran venue yang berlaku pada aksi menentang Barcelona yang
berkesudahan Harimau Malaya tewas 1-3 di Stadium Shah Alam kelmarin.
Situasi itu senada dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin yang mahukan pihak-pihak penganjur melakukan kajian secara
terperinci.
"FAM perlu bertegas dengan penganjur pada masa depan. Malah, kami
sealiran dengan Khairy yang mahu penganjur peka dengan persiapan venue
dan isi kandungan kontrak.
"Mereka tidak boleh membuat perjanjian yang melanggari kuasa FAM. Ada
beberapa elemen yang perlu dibuat. Jika dulu, sepatutnya jurulatih luar
mesti mengadakan sesi pengajaran dan berkongsi pengalaman dengan
jurulatih-jurulatih tempatan yang mana ia memberikan faedah kepada FAM.
"Namun, perkara itu berlaku kali ini. Saya akan pastikan semua
penganjur mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh FAM. FAM hanya
membantu dari aspek teknikal dan pengadil.
"Tak pasal-pasal FAM kena tempias sedangkan pihak penganjur yang
bertanggungjawab dalam kes ini. Kami tidak boleh memandang ringan
perkara ini tetapi ia menjadi satu pengalaman kepada FAM dan pihak
penganjur itu sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Shah
Alam semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, ramai pihak tidak berpuas hati dengan
keputusan penganjur yang mengubah venue perlawanan pada saat-saat akhir.
Barcelona sebelum ini bersetuju untuk beraksi di Stadium Nasional
Bukit Jalil, namun disebabkan padang tidak berkualiti, kelab gergasi
Sepanyol itu mengambil keputusan untuk bertukar venue ke Stadium Shah
Alam.
Dalam perkembangan sama, Hamidin turut mengulas mengenai isu
pertukaran stadium yang menjadi kecaman pelbagai pihak selain pertikaian
kualiti padang sebagai stadium utama negara.
"Sebelum perlawanan, Barcelona dah lihat beberapa kali padang di
Stadium Nasional bukit Jalil. Dalam masa yang sama, mereka turut tengok
keadaan di Stadium Shah Alam.
"Ketika menjalani sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, mereka berpendapat permukaan padang di sana tidak rata.
"Jadi, mereka tidak mahu meneruskan aksi di stadium tersebut dengan meminta perlawanan diadakan di Stadium Shah Alam.
"Selepas berbincang dengan pihak penganjur, kami bersetuju untuk
menukar demi kebaikan semua dan dari segi teknikal, FAM tidak bersalah
serta pihak penganjur yang harus disalahkan tetapi nama FAM juga yang
'busuk'.
"Kami tidak rugi tetapi ia memberikan kesan dari segi moral tetapi
jika tanya saya, pertukaran venue itu adalah keputusan terbaik meskipun
ada beberapa kelemahan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan