Ahad, 11 Ogos 2013

Amri layak dijadikan pemain contoh



AMRI antara pemain paling senior yang masih mendapat kepercayaan Rajagobal dalam skuad Harimau Malaya.


KAPTEN Selangor, Mohd. Amri Yahyah cukup teruja selepas berjaya menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya ketika tewas 1-3 kepada Barcelona pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Amri berkata, bekerja keras semasa latihan, memberi komitmen kepada pasukan pada setiap masa, mengikut arahan jurulatih dan sentiasa bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan menjadi kunci utama dia berjaya mengekalkan prestasi terbaik sehingga kini.

Amri, 32, antara pemain paling senior yang masih mendapat kepercayaan jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, sekali gus dianggap sebagai role model terbaik kepada pemain-pemain muda yang lain.

Dia masih mampu menampilkan aksi konsistensi dalam setiap perlawanan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) dan ketika bersama skuad Harimau Malaya.
"Saya akan sentiasa bekerja keras bersama pemain-pemain lain, memberi komitmen yang tinggi dalam latihan dan menuruti setiap arahan jurulatih bagi memastikan saya berada dalam prestasi terbaik.

"Mengenai perlawanan dengan Barcelona ini, jaringan yang saya hasilkan adalah hadiah istimewa buat para penyokong setia Harimau Malaya.

"Saya melihat semua pemain negara bermain dalam satu pasukan dan kami beraksi dengan penuh disiplin serta memberi komitmen penuh pada perlawanan ini.

"Saya juga menganggap jaringan saya pada malam ini (kelmarin) tidak banyak beza dengan jaringan saya ketika bertemu Manchester United pada 2009 dahulu, namun kali ini ia terhasil menerusi serangan balas yang pantas dan kami menghukum kelalaian benteng pertahanan Barcelona," kata Amri dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Dalam aksi persahabatan menentang kelab gergasi England, United pada 18 Julai 2009 lalu, Amri meledak dua gol ketika pasukan negara tewas tipis 2-3.

Amri yang mula menyarung jersi kebangsaan pada Sukan SEA 2003 di Hanoi menegaskan, rakan-rakan sepasukan perlu bangkit dalam perlawanan-perlawanan selepas ini terutama ketika menentang Bahrain pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober depan.

Amri berkata, sesiapa sahaja yang menjadi pilihan jurulatih 'wajib' memberikan persembahan terbaik dan menetapkan dalam fikiran untuk menang demi maruah negara.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan