Sabtu, 10 Ogos 2013

Wigan uji kredibiliti Moyes



MOYES (dua dari kanan) memberikan tepukan kepada Ferdinand (dua dari kiri) pada aksi persahabatan menentang Sevilla

di Old Trafford awal pagi semalam.


LONDON - Kredibiliti David Moyes selaku pengurus baharu Manchester United akan diuji malam ini.

Moyes akan menghadapi perlawanan kompetitif pertamanya apabila juara bertahan Liga Perdana England itu menghadapi juara Piala FA, Wigan Athletics pada aksi Piala Perisai Komuniti di Stadium Wembley.

Moyes, 50, dilantik menjadi pengurus United secara rasminya pada 1 Julai lalu selepas Alex Ferguson mengumumkan persaraannya secara mengejut akhir musim lalu.

Kewibawaan Moyes turut teruji apabila bekas pengurus Everton itu gagal mendapatkan bintang Barcelona dan Sepanyol, Cesc Fabregas yang menjadi sasaran utama perpindahan ke United.

Selain itu, usaha United untuk mengekalkan Wayne Rooney juga dilihat semakin sukar apabila penyerang utama England itu berkali-kali mendesak untuk dilepaskan.

Pada aksi pra-musim pula, United sekadar mencatat dua kemenangan daripada tujuh aksi persahabatan pemanas badan itu.

Bagaimanapun, pada aksi Piala Perisai Komuniti malam ini, skuad The Red Devils tetap menjadi pilihan utama untuk menjulang piala itu yang kali terakhir dimenangi pada musim 2011.
Kejayaan menewaskan Wigan juga bakal memberikan satu semangat baharu buat Moyes dan kem United dalam menghadapi kempen musim baharu, sekali gus mengekalkan mahkota Liga Perdana England.

"Saya akan mencuba sebaik mungkin untuk memenangi trofi pertama saya bersama kelab ini tetapi, jika kami menang, ia merupakan hasil usaha pengurus (Ferguson) pada musim lepas.

"Itu kerana, beliau melaksanakan tugas dengan sempurna pada musim lalu bagi membolehkan kami beraksi pada saingan Piala Perisai Komuniti musim ini.

"Bagaimanapun, saya akan berusaha keras untuk menjulang trofi ini, namun saya tetap berikan kredit kepada Ferguson," kata Moyes.

United telah menjual 47,000 tiket bagi menyaksikan perlawanan klasik pembuka tirai Liga Perdana itu.

Rata-rata peminat tegar United yang hadir ke Stadium Wembley pasti ingin menyaksikan sejauh mana kehebatan taktikal Moyes yang banyak melakukan eksperimen sepanjang aksi jelajah pra-musim baru-baru ini.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan