
HANAFIAH (kiri) melakukan rejaman ketika menentang Singapura pada Kejohanan Sepak Takraw Empat Negara 2013 baru-baru ini.
KETUA jurulatih skuad Elit A negara, Jamaluddin Hassan mengakui,
kesemua 13 pemain yang beraksi pada saingan Liga Sepak Takraw Thailand
semakin menunjukkan perkembangan yang positif terutamanya dari aspek
kemahiran individu.
Bagaimanapun, Jamaluddin tidak menafikan bahawa keserasian antara
mereka sudah terjejas sejak menyertai kejohanan itu pada 27 April lalu.
"Mereka tidak hanya dapat meraih pengalaman apabila berdepan dengan
pemain-pemain dari kelab Thailand tetapi mereka juga dapat memperbaiki
prestasi terutamanya kemahiran individu.
"Namun, saya tidak dapat menyatukan mereka ketika tiada perlawanan
berlangsung kerana mereka menyertai kelab-kelab yang berbeza seperti
Kalasin, Nakhon Pathom dan Chonburi.
"Tempat latihan juga agak jauh dan memang sukar untuk memanggil
mereka menjalani latihan bersama-sama sebab itu dari segi keserasian
nampak semakin longgar," kata Jamaluddin.
Begitupun, ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil masa yang
lama untuk mencari semula kombinasi anak-anak buahnya itu, Jamaluddin
percaya pemain-pemain itu tidak akan menghadapi masalah.
"Saya juga tidak perlu mengambil masa yang lama. Sekejap sahaja untuk mencari kombinasi yang sesuai.
"Cuma apa yang saya tidak sabar untuk lihat ialah tahap kecergasan mereka pada 20 dan 21 Ogos ini.
"Mereka sudah berlatih bersama kelab-kelab Thailand dan selepas
mereka pulang nanti persiapan akan lebih terarah untuk menghadapi Siri
Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di India, Thailand
dan Sabah sebelum ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan ,"
jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk
Ahmad Ismail mengesahkan bahawa regu untuk ke Myanmar perlu dibentuk
pada penghujung Ogos ini.
"Saya telah memberitahu kepada semua jurulatih supaya regu ini perlu
dibentuk selewat-lewatnya pada akhir bulan Ogos," ujar Ahmad baru-baru
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan