Selasa, 13 Ogos 2013

Tanam cowgrass atau guna rumput tiruan?


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal (dua dari kanan) menyertai sesi pemanas badan sebelum aksi persahabatan menentang Barcelona di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Ogos lalu.


PENASIHAT Global Blackburn Rovers, Shebby Singh (gambar kecil) mendakwa, sudah tiba masanya Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengambil dua pendekatan yang berbeza bagi menangani masalah kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Shebby berkata, PSM boleh menggunakan kaedah lama untuk menanam rumput jenis cowgrass atau guna rumput tiruan jenis fieldturf yang kini telah diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bekas pemain Kuala Lumpur itu berkata, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan bagi menangani isu kualiti padang demi menjaga imej negara.

“Masalah padang berlaku sejak dari dahulu lagi. Jika masih ingat, sejak kedatangan Brazil ke sini pada tahun 2002, mereka mendakwa kualiti padang kita seperti bunker padang golf.
“Perkara ini bukan satu isu baharu dan saya percaya ramai pihak sudah mula membuka mata mengenai kualiti isu padang yang berlaku di negara ini.

“Mungkin kita terikut-ikut dengan kaedah dari negara luar. Sebagai contoh, jika kita mengambil produk rumput dari Jepun, sudah tentu ia tidak sesuai berdasarkan keadaan cuaca di negara ini.
“Saya percaya, kita ada dua pilihan yang berbeza sama ada mahu menggunakan kaedah lama iaitu crowgrass atau fieldturf (rumput tiruan).

“Sejak dari dulu lagi, crowgrass terkenal sebagai rumput yang tahan lasak, ambil masa sehari untuk pulih dan cukup serasi dengan cuaca di Malaysia, manakala penggunaan fieldturf tidak perlu dipertikaikan kerana ia telah diiktiraf FIFA.

“Mengambil contoh Stadium Luzniki di Moscow (Rusia) yang menggunakan fieldturf, venue itu sedang menganjurkan Kejohanan Olahraga Dunia 2013 selain penganjuran aksi Liga Juara-Juara. FIFA mengakui kualiti padang mereka sangat bagus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memiliki pandangan tersendiri mengenai dua pendekatan berbeza dalam usaha menangani masalah kualiti padang di Stadium Nasional.

Annuar mendedahkan, penggunaan rumput jenis cowgrass adalah lebih relevan berbanding dengan kaedah rumput tiruan.

Beliau menganggap pemain-pemain Liga Malaysia (Liga M) lebih serasi dengan rumput cowgrass selain faktor cuaca yang lebih sesuai.

“Cowgrass sememangnya sedikit keras berbanding dengan rumput-rumput import dari Eropah tetapi ia sesuai dengan keadaan cuaca di sini.

“Cuma, masalah yang ada pada rumput ini (cowgrass) adalah kita memerlukan penjagaan yang begitu baik dan teliti dari segi penyiraman air, potong rumput, pasir dan baja.

“Kita memerlukan pakar untuk masalah ini. Rumput Bermuda yang digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah tidak boleh digunapakai.

“Jika kita boleh menjaga cowgrass dengan baik, tidak mustahil Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memberikan satu padang yang cukup berkualiti,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan