Ahad, 8 September 2013

Ukraine perlekeh England



KEKUATAN Ukraine ialah kerjasama sepasukan pemainnya berbanding England yang hanya gah dengan nama besar sahaja.


LONDON - Kapten Ukraine, Anatoliy Tymoshchuk percaya skuad England yang berdepan krisis di jentera serangan tidak akan berjaya menewaskan mereka dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Kiev, awal pagi Rabu ini.

Tymoshchuk berkata, pasukannya masih tetap percaya dengan peluang mereka layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil meskipun mereka hanya satu mata di belakang pendahulu Kumpulan H, England menjelang pertemuan penting tersebut.

Malah, perancang Zenit St. Petersburg itu menyifatkan kegagalan yang dialami skuad The Three Lions suatu ketika dahulu akan kembali menghantui mereka kali ini.

"Kami tidak mempunyai nama-nama besar seperti yang dimiliki oleh England tetapi kami mempunyai pemain yang tetap sebagus mereka," jelas Tymoshchuk.

"Hakikatnya, pemain-pemain bintang England seperti Wayne Rooney, Frank Lampard, Ashley Cole dan Steven Gerrard telah memenangi banyak kejayaan dan trofi bersama kelab masing-masing, tetapi mereka masih tetap gagal melakukannya buat negara mereka.

"England mungkin memiliki pemain hebat yang dikenali semua peminat bola sepak di sekitar Eropah, tetapi pasukan Ukraine adalah lebih bagus daripada mereka.

"Skuad kami lebih seimbang berbanding mereka dan apabila kamu lihat kami bermain, kami beraksi sebagai sebuah pasukan yang lebih baik daripada England.

"Sebab itu wujud kepercayaan dalam pemain skuad ini bahawa kami masih mampu layak ke Brazil," katanya lagi. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan