London: Ketika England bersiap menerima kunjungan Moldova dalam kelayakan Piala Dunia, esok, pengerusi FA yang baru, Greg Dyke melahirkan rasa bimbang skuad kebangsaan itu ‘akan pupus’ dan semakin lemah kerana terlalu ramai pemain asing membanjiri kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagi Dyke, isu itu perlu ditangani segera melalui perubahan radikal kerana dia mensasarkan skuad The Three Lions itu bakal menjuarai Piala Dunia pada 2022 dan layak ke separuh akhir Piala Eropah pada 2020.
“Bola sepak Inggeris perlukan skuad England yang kuat,” katanya. “Tiada guna memenangi Liga Juara-Juara dengan pasukan yang besar tetapi didominasi pemain asing. Mereka tidak boleh memberi sumbangan kepada skuad kebangsaan,”


Mengakui dia bukan berniat untuk ‘berperang’ dengan EPL, Dyke menjelaskan, persoalan utama perlu diberi perhatian ialah mahu melihat ramai pemain Inggeris berada dalam kesebelasan utama kelab.

Ramai pemain utama cedera Sementara itu, Roy Hodgson mengakui persiapannya kini terganggu akibat ramai pemain cedera termasuk Wayne Rooney, Phil Jones dan Glen Johnson manakala nasib Daniel Sturridge masih samar akibat kecederaan paha.

Ketika ini, England berada di tempat kedua Kumpulan H di belakang Montenegro dengan perbezaan dua mata tetapi memiliki kelebihan kerana masih kurang satu perlawanan berbanding lawan itu.

Pada aksi terakhir kelayakan Mac lalu, skuad Roy Hodgson mencatat keputusan seri 1-1 dengan Montenegro dan pasti mahu mengekalkan pencapaian tanpa bolos seperti ketika perlawanan menentang San Marino dan Moldova.
Lambert, Welbeck kuatkan serangan

“Kami dibolosi pada penghujung permainan ketika menentang Montenegro dan ia menjadi jaringan berharga buat lawan.

Jika ini tidak berlaku ia akan memberi kedudukan lebih baik dalam pungutan mata.

“Rasanya saya tidak perlu memberikan amaran kepada pemain atau mereka boleh berasa puas hati kerana saya masih belum lihat sebarang tanda mengenai perlawanan ini,” katanya yang mungkin memilih Lambert dan Danny Welbeck di barisan serangan.

Manakala pemain muda Everton, Ross Barkley dan pemain sayap Tottenham Hospurs, Andros Townsend masih berharap dapat membuat penampilan antarabangsa pertamanya selepas dipanggil menyertai pasukan buat kali pertama. - Agensi