Townsend diikat lagi empat tahun
London: Andros Townsend, pemain kebangsaan England yang paling mendapat tumpuan ketika ini sudah menandatangani kontrak baru selama empat tahun bersama Tottenham Hotspur, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, kelmarin.

Townsend, 22, membuat penampilan pertama bersama England, Jumaat minggu lalu dengan kemenangan 4-1 ke atas Montenegro sebelum sekali lagi menampilkan persembahan terbaik ketika kemenangan 2-0 ke atas Poland di Wembley yang mengesahkan tiket Piala Dunia Brazil buat skuad bimbingan Roy Hodgson.
“Kami amat gembira untuk mengumumkan Andros Townsend sudah menandatangani kontrak baru selama empat tahun bersama kelab itu,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, Townsend meledak tiga gol dalam 18 penampilan bersama Spurs dan mempamerkan aksi menarik ketika dipinjamkan ke QPR musim lalu – meyakinkan kelab dari London itu untuk kembali menggunakan khidmatnya selepas Aaron Lennon berdepan kecederaan.

Begitupun, selepas perlawanan menentang Poland, laporan media mengatakan Hodgson mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada Townsend namun disangkal pemain itu yang dianggap sebagai pujian. - AFP