'Pemain Sarawak  bersih' Pemain tengah Sarawak Putera Nadher hadir pada sesi latihan ringan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya bagi persiapan perlawanan suku akhir kedua menentang Sime Darby, Sabtu ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Tuduhan rasuah jelas tidak benar dan dongeng semata-mata

Petra Jaya:
Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) lega dengan penjelasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa isu rasuah yang didakwa berlaku dalam pasukan itu ketika membelasah Perak 6-1 pada aksi Piala Malaysia, 21 September lalu, adalah tidak benar.
Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman, berkata dakwaan itu kini jelas tidak benar dan dongeng semata-mata.

Saya berani jamin bahawa pemain kami langsung tidak terbabit rasuah. Saya percaya sepenuhnya kepada pemain dan pegawai kerana mereka ada nilai integriti yang tinggi," Datuk Sudarsono Osman, Presiden FAS

“FAM sudah keluar kenyataan dan saya berharap tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan memperbesarkan isu itu lagi.

“Saya juga percaya sepenuhnya kepada pemain dan pegawai Sarawak kerana mereka ada nilai integriti yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran kempen Katakan Tidak Pada Rasuah, di Stadium Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama jurulatih dan pengurus skuad Ngap Sayot, Robert Alberts serta barisan pemain.

Disiasat jika terbabit atur perlawanan
Kempen itu diadakan bagi menunjukkan komitmen tinggi FAS untuk membanteras rasuah dalam bola sepak.

Kelmarin akhbar melaporkan Sarawak yang membelasah Perak 6-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium negeri, Kuching 21 September lalu juga tidak terlepas dan akan disiasat jika terbabit mengatur perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus Sarawak turut didakwa terpalit sama mengatur perlawanan ketika aksi di Kuching itu.

Apa pun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan laporan itu dan menganggap kenyataan Aseh disalah tafsir media.

Sudarsono berkata, pemain Sarawak mengerah kudrat bermain bermati-matian mahu mencatat kemenangan, tiba-tiba mereka dikait dengan rasuah.