Selasa, 9 Julai 2013

'Sang juara' terima habuan hari ini



IMBAS KEMBALI... Barisan pemain serta pegawai skuad Pulau Pinang meraikan kejayaaan muncul juara Liga FAM 2013 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Jun lalu.


KESEMUA pemenang Liga Malaysia (Liga M) meliputi juara Liga Super, Liga Premier dan Liga FAM akan menerima hadiah kemenangan serta insentif tahunan yang akan dikreditkan ke dalam akaun pasukan masing-masing hari ini. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, selain hadiah kemenangan serta insentif berkenaan yang berjumlah RM5.132 juta, pasukan tuan rumah yang mendapat liputan perlawanan secara langsung daripada Astro sepanjang musim ini turut akan menerima bayaran pampasan berjumlah RM950,000.

"Bayaran kepada pegawai perlawanan kejohanan bawah umur seperti bawah 17 tahun dan bawah 14 tahun hampir RM200,000 turut akan dikreditkan esok (hari ini) termasuk subsidi untuk Liga Futsal Kebangsaan 2012 yang turut berjumlah RM700,000 dan kesemua bayaran ini melibatkan wang tunai berjumlah RM8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis meraikan perpisahan bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mempersoalkan wang penajaan RM30 juta setahun yang diterima FAM daripada Astro untuk hak penyiaran Liga M yang sepatutnya diagihkan kepada pasukan tempatan yang menghadapi masalah kewangan.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin berkata, FAM tidak akan berganjak dengan keputusan asal mereka untuk tidak membenarkan mana-mana pasukan yang layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia meminjam pemain pasukan lain.

Katanya, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan pasukan bola sepak tempatan melalui beberapa seminar dan taklimat yang diadakan oleh FAM pada awal tahun ini.

"Keputusan yang sama turut dicapai oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sejak awal tahun ini selain mengurangkan kerenah birokrasi di FAM yang mempunyai beberapa sekretariat.
"Pasukan hanya boleh menguatkan pemain menerusi dua pintu perpindahan pemain yang dibuka pada Januari dan April lepas," kata Hamidin.

Ahad lalu, penolong pengurus T-Team, Mohamed Sekanther Abdul Hamed dilapor sebagai berkata, wakil kelab Terengganu itu berhasrat meminjam tiga pemain yang beraksi di posisi penyerang, pemain tengah dan penjaga gol untuk memperkuatkan skuad The Titans bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan