Isnin, 30 September 2013

Sarawak kini dalam perhatian FAM


IMBAS KEMBALI... Aksi antara Sarawak dan Perak dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada 21 September lalu.


SELEPAS Perak, Sarawak pula berada perhatian persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas didakwa terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Juara Liga Premier itu didakwa terlibat dalam skandal tersebut ketika pertemuan menentang Perak pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, 21 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat mendedahkan, beliau telah menerima maklumat mengenai perkara tersebut baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menemui sebarang bukti kukuh bahawa Sarawak terlibat dengan gejala mengatur perlawanan.

“Kami telah mendapat maklumat itu (dakwaan rasuah membabitkan Sarawak) tetapi belum ada sebarang bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak yang berkenaan.

“Dalam hal ini, kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dan jika betul (dakwaan tersebut), kami akan terus ke sana (Sarawak) untuk melakukan siasatan,” jelas Aseh selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM di Kelab Tasik Putrajaya di Putrajaya semalam.

Aseh memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pasukan jika mendapati berlaku unsur-unsur mengatur perlawanan dalam sesuatu perlawanan.

“Sebab itu siasatan perlu dibuat dan saya menaruh keyakinan terhadap SPRM dan pihak polis sekiranya terdapat sebarang bahan bukti yang sahih,” katanya.

Pada 23 September lalu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggantung tugas ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, penolong jurulatih dan pegawai pasukan itu selama dua minggu kerana mengesyaki wujudnya unsur sabotaj dan rasuah dalam skuad Kejor Yob Kejor.
Ia rentetan kekalahan besar 1-6 kepada Sarawak dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Negeri.

Kekalahan itu menyaksikan Perak tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia musim ini biarpun bermula cemerlang dalam aksi peringkat kumpulan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan