Isnin, 21 Oktober 2013

'Kereta kebal' taruhan utama Pahang



STEWART (kanan) dan Matias Conti antara tonggak utama Pahang pada kempen Piala Malaysia musim ini.


KEKEBALAN benteng pertahanan menjadi antara faktor utama Pahang melakar kemenangan 3-1 ke atas Sarawak pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lalu, lapor M. RIZAL NOR.

Kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar berkata, gandingan mantap Mohd. Razman Roslan dan awang import, Damion Stewart menyebabkan Sarawak seakan-akan buntu bagi merobek gawang Tok Gajah.
"Pada perlawanan separuh akhir pertama Sabtu lalu, semua posisi berfungsi dengan baik termasuk pertahanan yang berjaya menyekat kemaraan penyerang berbisa Sarawak, Bobby Gonzales dan Muamer Salibasic.

"Saya amat teruja melihat keampuhan Razman dan Stewart yang beraksi cemerlang bagaikan kereta kebal untuk menjadi penghadang di bahagian pertahanan kami," kata Jalaluddin semalam.

Dia mengakui, aksi mantap Stewart berjaya memukau para penyokong setia Tok Gajah dan berharap kecemerlangan pemain import itu dapat diteruskan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.

"Semua boleh melihat sendiri bagaimana Stewart menggunakan badannya yang sasa untuk mengekang asakan lawan dan kelibatnya banyak kali mematahkan asakan lawan.

"Saya percaya jika semua pemain fokus dan menghidupkan peranan masing-masing, tidak mustahil bagi Pahang merasai pentas final Piala Malaysia musim ini," ujarnya.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, skuad Tok Gajah kini sedang giat menjalani persiapan dan latihan selain berusaha mengatasi kelemahan menjelang aksi di Kuching.

"Pada perlawanan separuh akhir pertama, semua pemain mempamerkan aksi luar biasa pada babak pertama, namun corak permainan kami sedikit berubah pada separuh masa kedua sehingga kami gagal menambah jaringan.

"Justeru, saya berharap semua pemain dapat mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlawanan timbal balik di Kuching nanti bagi memastikan kami layak ke final," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan