Khamis, 13 Jun 2013

Prandelli 'malu besar'



PRANDELLI (dua dari kiri) memberikan arahan kepada pemain-pemain Itali ketika menggendalikan sesi latihan pasukan itu di Rio de Janeiro, Brazil kelmarin.


RIO DE JANEIRO - Pengendali Itali, Cesare Prandelli mengakui beliau malu besar apabila skuad The Azzurri terikat 2-2 dengan Haiti pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sao Januario, Selasa lalu.

Jurulatih berusia 55 tahun itu berkata, Itali gagal mempamerkan aksi sebenar, sekali gus menuntut anak-anak buahnya mempamerkan kebangkitan menjelang aksi pembuka tirai kempen Piala Konfederasi 2013 berdepan Mexico minggu depan.

"Ia satu keputusan yang buruk dan memalukan apabila sekadar seri dengan Haiti.
"Semangat juang dalam kalangan pemain juga tidak cukup bagus.

"Saya akan memastikan ia dapat diatasi segera, termasuk mengadakan latihan khas iaitu ujian larian secara individu.

"Jadi, saya harap tempoh lima hari mencukupi sebelum memulakan kempen Piala Konfederasi 2013," kata Prandelli.

Pada aksi menentang Haiti, skuad The Azzurri hanya mengambil masa 19 saat untuk mendahului hasil jaringan Emanuele Giaccherini yang bijak menyambar hantaran lintang Antonio Candreva.

Bagaimanapun, naib juara Euro 2012 itu terpaksa menunggu sehingga ke minit ke-70 untuk memperoleh gol kedua menerusi pemain gantian, Claudio Marchisio.

Itali yang beraksi lebih santai selepas mendahului 2-0, ditimpa malang apabila pemain gantian Haiti, Olrish Saurel merapatkan jurang pada minit ke-85 hasil satu sepakan penalti setelah Davide Astori menjatuhkan Jean-Eudes Maurice

Jean Philippe menambah derita skuad The Azzurri apabila meledakkan gol penyamaan Haiti pada minit ke-90.

Pada kempen Piala Konfederasi, Itali diundi dalam Kumpulan A bersama Mexico, Jepun dan tuan rumah, Brazil. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan