PRAGUE - Penyerang kontroversi Itali, Mario Balotelli memohon maaf
selepas dilayangkan kad merah ketika seri tanpa jaringan dengan Republik
Czech pada aksi Kumpulan B kempen kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Eropah
di Prague kelmarin.
"Saya memberikan reaksi yang keterlaluan. Jadi, saya meminta maaf.
"Saya memohon maaf kepada rakan-rakan sepasukan dan masih banyak lagi yang perlu saya pelajari," kata Balotelli menerusi Twitter peribadinya semalam.
Kelmarin, Balotelli dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad
kuning dalam tempoh tiga minit pada pertengahan babak kedua selain gagal
mengawal emosi ketika keluar dari padang.
Dia juga dilaporkan menulis mesej negatif di laman Twitter sebelum memohon maaf.
Jurulatih Itali, Cesare Prandelli turut menggesa Balotelli supaya
lebih bijak mengawal sebarang provokasi pada perlawanan selepas ini.
"Dia harus memahami bahawa pemain hebat sentiasa menjadi sasaran provokasi.
"Jika Balotelli berjaya melepasi ujian itu, ia satu kelebihan buatnya untuk berdepan mana-mana pemain lawan," kata Prandelli.
Dengan keputusan itu, Itali yang kebal dengan rekod tanpa kalah kini
memiliki kelebihan empat mata di depan pasukan di tangga kedua,
Bulgaria, manakala Republik Czech di tangga ketiga (sembilan mata). -
Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan