LONDON - Pengendali baharu Manchester City, Manuel Pellegrini
mendesak pegawai atasan kelab untuk mengemukakan tawaran perpindahan
kepada bintang Real Madrid yang berharga £30 juta (RM144.3 juta), Angel
Di Maria.
Pellegrini akan mengambilalih tugas pengurus City daripada Roberto Mancini yang dipecat secara rasmi minggu ini.
Bekas jurulatih Malaga itu gemar menggunakan strategi pemain sayap
dan telah mendapatkan khidmat pemain Sevilla, Jesus Navas dengan harga
£17 juta (RM81.8 juta) minggu lepas.
Kini, Pellegrini menjadikan Di Maria iaitu pemain sensasi di Stadium
Santiago Bernabeu sebagai buruan terbaharunya dalam usaha membantu City
memenangi gelaran Liga Perdana England musim depan.
City telah berbelanja lebih daripada £50 juta (RM240.5 juta) ketika membeli Navas dan bintang Brazil, Fernandinho.
Justeru, pembelian ke atas Di Maria bakal menyaksikan perbelanjaan mereka melepasi angka £80 juta (RM384.8 juta).
Real pula tidak berhasrat menjual Di Maria dan Carlo Ancelotti yang
akan diperkenalkan sebagai jurulatih baharu kelab itu tidak lama lagi
dan melihat pemain Argentina tersebut sebagai tonggak utama.
Pengarah Sukan City, Txiki Begiristain dan Ketua Eksekutif, Ferran
Soriano akan berjumpa dengan presiden Real, Florentino Perez di Sepanyol
minggu ini bagi membincangkan perpindahan Di Maria.
Perez pula sudah pasti akan cuba menghalang niat City itu dan akan
meminta bayaran £34 juta (RM163.5 juta) iaitu jumlah yang sama dengan
penyerang baharu kelab Eastlands tersebut, Fernandinho.
Di Maria, 25, yang membuat 38 penampilan buat Argentina, menyertai
Real Madrid dengan harga £20 juta (RM96.2 juta) pada 2010 dengan kontrak
selama lima tahun. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan