Khamis, 13 Jun 2013

Barcelona cuba selamatkanTorres



TORRES dijangka pulang ke Stamford Bridge sebaik tamat kempen Piala Konfederasi 2013.


LONDON - Barcelona mahu menamatkan 'mimpi ngeri' penyerang Chelsea, Fernando Torres. Juara Liga Sepanyol itu bersiap sedia untuk membuat tawaran berjumlah £17 juta (RM83.4 juta) bagi mendapatkan khidmat Torres.

Begitupun, jumlah itu kurang £33 juta (RM161.9 juta) daripada harga yang dibayar Chelsea kepada Liverpool ketika mencipta rekod perpindahan tertinggi di Britain dua tahun lalu.

Pengurus baharu skuad The Blues, Jose Mourinho mahu bersemuka dengan Torres sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan pemain yang mendapat bayaran tertinggi itu.

Bagaimanapun, selepas Chelsea mendedahkan keinginan untuk memburu khidmat penyerang Napoli, Edinson Cavani yang bernilai £54 juta (RM265 juta), Torres sedar dia pasti meninggalkan skuad The Blues.

Kini, terpulang kepada Mourinho untuk menentukan masa depan Torres yang masih mempunyai baki kontrak selama tiga tahun di Stamford Bridge.

Torres, 29, sedang menjalankan tugas antarabangsa dengan Sepanyol dan dijangka pulang ke Stamford Bridge sebaik tamat kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil.

Dia baru sahaja melengkapkan musim yang produktif di Chelsea selepas meledakkan keseluruhan 22 gol, tetapi hanya lapan gol berjaya dicetak dalam saingan Liga Perdana England.

Barcelona yang turut membuat persiapan untuk mengemukakan tawaran kepada pemain pertahanan Chelsea, David Luiz melihat Torres sebagai penyerang simpanan di Nou Camp dan yakin kepulangannya ke Sepanyol bakal mengembangkan semula kariernya.

Barca mahu Torres menggantikan tempat rakan senegara, David Villa yang dijangka meninggalkan Nou Camp, malah bersedia membayar gaji berjumlah £175,000 (RM858,870) seperti mana yang diterimanya di Stamford Bridge. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan