RIO DE JANEIRO - Juara dunia lima kali, Brazil sekadar seri 2-2 dalam
satu aksi persahabatan antarabangsa dengan England di stadium yang baru
dibaik pulih, Stadium Maracana di sini kelmarin.
Tuan rumah Piala Dunia 2014 itu yang mendapat semula sentuhan
jurulatih, Luiz Felipe Scolari bermula garang pada separuh masa pertama
perlawanan, namun kedua-dua pasukan masih gagal meraih sebarang
jaringan.
Bermula separuh masa kedua, jalan cerita mula berubah selepas pasukan
tuan rumah lebih dulu membuka jaringan menerusi Fred pada minit ke-57.
Alex Olade-Chamberlain yang baru beberapa minit dibawa masuk
kemudiannya menyamakan kedudukan sebelum Wayne Rooney terus meletakkan
England di depan.
Ketika keadaan terdesak itu, Paulinho muncul penyelamat Brazil apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-82.
Untuk rekod, Brazil turut diikat Colombia pada aksi kelayakan Piala
Dunia 2008 ketika aksi terakhir sebelum Stadium Maracana ini dibaik
pulih.
Kali terakhir Brazil menang dalam aksi persahabatan ialah ketika
bertemu Bolivia manakala ketika bertemu England di Stadium Wembley
Februari lalu, Brazil tewas.
"Kami bermain baik pada separuh masa pertama, namun agak teruk apabila memasuki babak kedua.
"Kami bermain agak terbuka serta memberi peluang kepada pasukan
pelawat terlalu banyak ruang untuk bergerak, menguasai permainan
seterusnya menghasilkan gol.
"Sudah tentu penyokong kami mahukan kemenangan. Mereka mahukan jaringan seterusnya kejayaan buat pasukan Brazil.
"Namun kami sedar, pasukan England bukanlah sebuah pasukan yang mudah
untuk ditewaskan," jelas Scolari kepada pemberita sejurus selepas
perlawanan itu.
Selain itu, menurut Scolari lagi, kecemerlangan penjaga gol England,
Joe Hart yang banyak melakukan aksi menyelamat turut menjadi salah satu
sebab Brazil gagal mencatat kemenangan.
Scolari bagaimanapun turut memuji bintang-bintang mudanya, Neymar,
Oscar dan Hulk yang disifatkan antara tonggak penting pasukan Brazil
dalam kempen Piala Dunia tahun depan. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan