|
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa
berkata, bidang sukan negara memerlukan menteri berkaitan sukan yang
berani bersuara dan tegas seperti ditunjukkan Khairy Jamaluddin Abu
Bakar.
Katanya, tindakan Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik itu
mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu perlawanan
separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim
(Johor DT) baru-baru ini juga selari dengan tanggungjawabnya.
"Saya yakin pandangan yang dilontarkan oleh Menteri Belia dan Sukan
itu dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima tanpa ditujukan secara
langsung kepada mana-mana pihak mahupun individu," katanya menerusi
laman sosial Facebook miliknya semalam.
Pada masa yang sama, Annuar yakin FAM bertindak mengikut peraturan dalam menangani isu berkenaan.
Khairy sebelum ini mempersoalkan tindakan FAM memberikan hak tuan
rumah kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PNBP) bagi perlawanan
semula separuh akhir kedua Piala FA membabitkan pasukan Johor DT dengan
Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu, selepas PNBP
gagal menangani aspek keselamatan ketika perlawanan asal di Stadium
Darul Makmur, Kuantan empat hari sebelum itu.
Khairy juga mempersoalkan keputusan FAM memperuntukkan 60,000 tiket
kepada Pahang dan 20,000 kepada Johor pada perlawanan ulangan itu.
Kenyataan Khairy menimbulkan rasa terkilan Sultan Pahang, Sultan
Ahmad Shah selaku Presiden FAM yang bertitah bahawa keputusan FAM itu
dibuat berlandaskan peraturan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan