|
PERNAH suatu ketika pada hujung tahun lalu, sekeping gambar yang
memaparkan pelakon muda Erin Malek memakai baju tidur telah mencetuskan
kontroversi. Foto aksi berahinya itu telah dimuat naik di laman
Twitternya.
Gambar yang dimuat naik dengan niat ditujukan buat para peminatnya
itu dikecam dan Erin dikatakan cuba mencari publisiti murahan.
Bagaimanapun, Erin atau nama sebenarnya Nur Erina Abdul Malek, 19,
tampil memberikan penjelasan. Ujarnya, gambar tersebut dirakam ketika
dia sedang menunggu untuk menjalani penggambaran salah satu babak filem
Lari arahan Ahmad Idham.
Filem tersebut mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula
semalam, 6 Jun. Justeru, pasti ramai yang menantikan kemunculan filem
tersebut lantaran ia mencetuskan kontroversi lebih awal.
Erin melahirkan rasa lega apabila filem itu yang selama ini
dinanti-nantikan untuk tayangan umum akan menjawab segala tohmahan yang
dilemparkan kepadanya tahun lalu.
"Bagi setiap perkara yang tidak disukai orang atau sekiranya Erin
buat salah, tolonglah tegur dengan cara baik, bukannya komen dan
mengutuk saya secara biadab.
"Kenapa perlu cakap saya tidak sopan dan tidak pandai menjaga tingkah
laku? Lebih baik cakap perkara bagus-bagus kerana kata-kata itu satu
doa.
"Saya masih muda dan mungkin kurang matang tapi saya akan cuba
berhati-hati dalam setiap perbuatan selepas ini," ujarnya yang ditemui
ketika tayangan perdana Lari di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya,
Selangor, baru-baru ini.
Menerusi filem itu, Erin melakonkan watak Ina iaitu adik perempuan
kepada seorang bekas tentera bernama Khaliff (lakonan Aaron Aziz).
Konflik melanda apabila Erin dilarikan ke Thailand oleh satu sindiket untuk dijadikan pelacur manakala bapanya pula dibunuh.
Imej negatif
Dalam pada itu, Erin turut mengulas dakwaan dia tidak menghormati
tatacara berpakaian memandangkan dua orang adik-beradiknya tampil dengan
tuntutan berhijab.
"Saya sudah agak, imej saya akan menjadi isu sejak awal lagi. Saya mempunyai dua orang adik yang kedua-duanya memakai tudung.
"Orang akan pandang saya negatif apabila saya keluar dengan mereka
berdua. Tapi saya cuba sedaya upaya untuk mengenakan pakaian yang sopan
apabila keluar bersama.
"Mereka tidak pernah mengeluh atau bising kerana imej saya. Kalau di
rumah, saya akan mengikut cara mereka cuma kadangkala saya tidak faham
mengapa orang tetap melihat diri saya yang negatif.
"Umpamanya mereka kata saya seorang gadis yang teruk sangat. Walau
apapun, saya gembira dengan kehidupan saya sekarang, insya-Allah saya
berharap agar saya terbuka hati untuk memakai tudung," getus Erin.
Erin juga tidak terlepas daripada isu bertindik lidah dan tatu palsu
sebelum ini selain beberapa foto beraksi manja bersama teman lelakinya
yang dikenali dengan panggilan Walid Wahid.
Memberikan reaksi terhadap keterbukaannya dalam isu perhubungan
dengan lelaki tersebut, ujar Erin, dia masih tahu menjaga batasan agama
dan tatasusila masyarakat Timur.
"Kami sudah tiga tahun bersama. Saya tidak hipokrit dan ramai yang sudah tahu akan hubungan kami.
"Mama saya tiada masalah sejak saya menjalinkan hubungan dengan dia
asalkan tidak melakukan perkara yang orang sekeliling tidak suka atau
memalukan Mama.
"Pada mulanya, Walid tidak faham kerjaya saya sebagai seorang pelakon
malah dia juga tidak tahu siapa saya ketika awal perkenalan. Tapi
sekarang, dia sudah boleh menerima tugas saya sebagai anak seni," kata
Erin yang turut menjayakan drama bersiri Misiku Kuza yang sedang
ditayangkan di Astro Ria.
Dalam usia 19 tahun, adakalanya Erin seolah-olah berada di
persimpangan - antara meniti usia dewasa dan meninggalkan zaman remaja
yang dicintainya.
Bagi Erin, dia berpegang pada prinsip enggan menjadi tua sebelum
usia. Maka disebabkan itu juga, dia terpaksa menolak beberapa tawaran
untuk melakonkan watak wanita dewasa.
|
Prinsip dan watak
"Ramai yang masih keliru dengan pendirian saya, malah tidak percaya
untuk menawarkan saya watak utama. Saya tidak suka dilabelkan sebagai
pelakon kanak-kanak lagi. Walaupun badan saya kecil, orang sangka saya
tidak boleh melakonkan watak remaja.
"Saya tidak kisah dilabelkan budak-budak sekolah tapi saya tidak mahukan itu saja kerana saya juga mahukan watak remaja.
"Tapi janganlah tawarkan saya watak tua sebelum sampai waktu yang
sesuai. Nanti apabila saya sudah tua, saya perlu pegang watak yang
bagaimana pula?" jelasnya.
Ditanya mengenai perancangannya dalam mengisi ilmu di dada selain
bidang seni, jawab Erin, dia masih menunggu masa yang sesuai untuk
menyambung pelajaran dalam bidang pengarahan filem.
"Sepatutnya saya sambung belajar tapi sekiranya mahu belajar saya
perlu berhenti berlakon seketika. Pernah juga saya terfikir awal tahun
ini mahu sambung belajar tapi apabila dapat tawaran berlakon, saya letak
ke tepi dulu hasrat saya.
"Buat masa sekarang belum ada matlamat untuk sebetul-betulnya mahu
belajar semula, selalunya saya suka merancang saat-saat akhir.
"Mama pun tak bagi saya membuat dua kerja dalam satu-satu masa," kongsi Erin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan