PRAGUE - Itali berpeluang untuk menyambar slot automatik ke pusingan
akhir Piala Dunia 2014 sekiranya berjaya menewaskan Republik Czech pada
aksi Kumpulan B di Prague awal pagi esok.
Ketika ini, Itali sedang memimpin kedudukan teratas kumpulan selepas
mengumpul 13 mata, tiga mata di depan Bulgaria yang beraksi lebih satu
perlawanan manakala Czech sekadar mengutip lapan mata sepanjang lima
perlawanan.
Namun, skuad kendalian Cesare Prandelli pasti berdepan tekanan
sekiranya tewas kepada Czech menjelang pertemuan kedua di Itali,
September depan.
"Czech merupakan sebuah pasukan yang perlu ditewaskan kerana mereka tidak pernah memberikan laluan mudah buat mana-mana pasukan.
"Jika kami gagal mempamerkan aksi sebenar, tidak mustahil kami akan tewas.
"Kami masih berpeluang mencuri satu mata tetapi ada baiknya kami
membawa pulang tiga mata, sekali gus melebarkan jurang sebagai pendahulu
kumpulan," kata penjaga gol veteran Itali, Gianluigi Buffon.
Itali yang kali terakhir mendakap trofi Piala Dunia 2006 di Jerman
dilihat tempang tanpa kehadiran tonggak pertahanan, Luca Antonelli.
Tempat Antonelli dijangka diambil alih oleh Andrea Barzagli.
Skrip sama turut dikongsi tuan rumah yang terpaksa melupakan khidmat penyerang, Matej Vydra gara-gara kecederaan.
"Ketika ini, kami berdepan misi hidup mati untuk menewaskan Itali.
"Biarpun dilihat sebagai underdog, tiada yang mustahil dalam bola sepak," kata kapten Republik Czech, Tomas Rosicky. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan