BAND Manifesto telah dinobatkan sebagai juara program Versus 2, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200,000.
Menerusi konsert Konfrontasi Terakhir yang berlangsung di Space U8,
Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu, Manifesto berhasil mengetepikan
saingan sebuah lagi band pilihan iaitu Kyoto Protocol menerusi cabaran
battle.
Tomok yang mewakili Manifesto berkata, mereka langsung tidak
menyangka dengan kemenangan yang diraih memandangkan tekanan yang
terpaksa dilalui pada konsert terakhir.
“Sejujurnya saya cukup berbangga dengan semua band yang bertanding
kali ini kerana telah memberikan saingan yang cukup sengit serta membuat
persembahan yang menghiburkan.
“Apabila diumumkan layak untuk bersaing dalam acara battle, ia
sesuatu yang mengejutkan dan ketika diumumkan sebagai juara pula sudah
tentu ia merupakan satu pengalaman yang paling indah,” ujarnya pada satu
sidang akhbar selepas konsert berakhir.
Sebelum layak ke saingan battle yang menemukan dua buah band untuk
merebut gelaran juara, Manifesto dan Kyoto Protocol terlebih dahulu
menyingkirkan tiga buah band lagi iaitu Oh Chentaku, Estranged dan
Kristal.
Pada peringkat awal, Manifesto mempertaruhkan lagu Mash-Up yang
merupakan gabungan dua buah lagu iaitu Biar Putih Tulang dan Bukan Cinta
Biasa serta sebuah lagu baharu berjudul Manifesto.
Tidak kurang hebatnya buat Kyoto Protocol yang melangkah ke saingan
battle apabila mempersembahkan lagu Mash-Up iaitu Tiada Lagi Kidungmu
dan Rindu serta lagu berjudul Jelita.
Pada persaingan battle pula, kedua-dua band diberikan tugas
mempersembahkan lagu yang dipopularkan oleh band XPDC. Manifesto telah
memilih lagu Titian Perjalanan, manakala Kyoto Protocol pula tampil
dengan lagu C.I.N.T.A.
Mengulas lebih lanjut mengenai kemenangan tersebut, Tomok menafikan
sekeras-kerasnya bahawa kemenangan yang diraih itu disebabkan dirinya
yang sebelum ini pernah menjuarai program realiti One In A Million
(OIAM) musim ketiga.
Sebaliknya, penyanyi itu menegaskan kemenangan yang diraih merupakan
sokongan padu yang diberikan oleh peminat kepada band Manifesto dan
bukan kepada dirinya sahaja.
“Saya langsung tidak merasakan peminat yang mengundi semata-mata
kerana saya, jadi ini bukanlah kemenangan secara individu kerana ini
merupakan kejayaan bersama,” ujarnya.
Berbanding dengan saingan lapan minggu sebelumnya, pemilihan pemenang untuk konsert terakhir ini dibuat berdasarkan 100 peratus undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada peminat.
Selain itu, saingan akhir juga menyaksikan Datuk Hattan telah dilantik sebagai juri, di samping dua orang juri tetap selama sembilan minggu iaitu Loque dan Jennifer Thompson.
Ketika ditanya mengenai hala tuju Manifesto selepas saingan Versus 2 berakhir, ujar Tomok, kumpulan itu sudah merancang untuk mengadakan sebuah showcase dan kenduri doa selamat atas kemenangan mereka itu.
“Kami juga sudah berbincang untuk menghasilkan sebuah album baharu tidak kira menang atau tewas. Jadi, sebahagian duit kemenangan itu nanti pastinya akan digunakan untuk penerbitan album tersebut nanti,” tegasnya.
Tidak kecewa
Salah seorang wakil band Kyoto Protocol iaitu Fuad menjelaskan kegagalan untuk meraih gelaran juara setelah tumpas di tangan Manifesto langsung tidak mengecewakan mereka.
Ujarnya, mereka sudah membuat yang terbaik sepanjang sembilan minggu saingan Versus 2 berlangsung dan akur bahawa kemenangan lebih berpihak kepada Manifesto yang mendapat undian terbanyak
“Berpeluang dapat menyertai Versus 2 telah menjadi batu loncatan untuk menarik lebih ramai peminat memandangkan sebelum ini kami bergerak secara underground.
“Dengan peminat yang bertambah sekarang ini sudah tentu menjadikan Kyoto Protocol akan lebih dikenali ramai. Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada semua yang mengundi dan menyokong kami,” ujarnya.
Berkenaan dengan saingan battle yang berlangsung antara kedua-dua band, Fuad berpendapat bahawa Manifesto memang layak untuk dinobatkan sebagai juara berdasarkan persembahan yang mantap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan