|
DI sebalik lirik jujur lenggok rock n roll, ada dua orang anak muda
yang gigih bekerja demi kepuasan mereka. Semua idea dan reaksi spontan
Noh Salleh dan Aizat Amdan itu bermula di sebuah restoran yang akhirnya
membuahkan hasil manis.
Kadangkala, idea yang tidak terlintas di benak fikir boleh menjadi
sebuah projek yang menyenangkan. Apatah lagi berlandaskan sinergi dan
pemikiran yang sama.
"Memang kami spontan dan tidak merancang. Sewaktu lepak-lepak di
restoran, saya terus bertanyakan Aizat kalau dia mahu berduet dengan
saya. Lagu ini direkodkan dua bulan lalu. Vokal di studio Anas dan
produksi lagu, saya buat sendiri," ujar Noh yang dalam persiapan membuat
projek solonya.
Lantas Aizat memberi respons terhadap cerita Noh.
"Noh yang nak berduet. Memang ia sesuatu yang baharu dan segar.
Lagi-lagi datangnya daripada Noh. Memang sebab Noh saya buat projek ini.
Keserasian sudah ada dan minat kami pun lebih kurang," ujar Aizat yang
sentiasa teruja dengan produk serta naskhah Noh dan grupnya Hujan.
Lalu apabila dua komponen segar dan banyak idea ini bergabung maka
terhasil sebuah lagu yang lunak diterima telinga malah cepat ditangkap
untuk dinyanyikan. Lagu dengan judul In Love With You sudah mula ke
udara malah klip video untuk lagu ini juga telah dilancarkan di laman
YouTube pada 6 Jun lalu.
Saling mengisi
Sesi temu ramah dua anak muda yang sering dikaitkan dengan lagu-lagu
hit berkualiti itu lebih terarah kepada perbualan santai. Selesa berdua
dan bersembang, cerita mereka banyak terarah muzik dan minat yang memang
seiring.
"Aizat, kau tahu tak? Aku terus buat lagu ni lepas bangun tidur.
Isteri aku, Nina tertanya kenapa bangun-bangun terus buat lagu. Aku
sayang betul dengan lagu ini," ujar Noh yang selesa ber'aku-engkau'
dengan Aizat tanda mereka akrab.
|
"Bagi saya Aizat ini sudah ada 'benda' tersendiri. Saya tidak perlu
beritahu dia apa yang perlu dibuat. Lagipun saya memang bagi ruang untuk
signature dia dalam lagu ini," ujar Noh tentang lagu yang menjadi runut
wajib dalam keretanya saat memandu.
Untuk Aizat, ini bukan kerjasama berpadu suara kali pertama. Sebelum
ini dia muncul dengan lagu Dwihati bersama Yuna dan akan muncul lagi
sebuah naskhah duet bersama Zee Avi. Namun di sebalik projek-projek duet
ini, dia mengaku bersikap selektif dalam memilih 'pasangan'.
"Saya belajar cara kerja dengan mereka (rakan duet). Itu yang
menariknya. Mencari keseimbangan dan kualiti. Apabila niat sudah ada,
kerja jadi senang dan mungkin ini memang sudah ditakdirkan. Saya tahu
Noh boleh menjadi seorang produser yang baik. Melihatkan tempat
kerjanya, saya sudah tahu dia mampu menggalas tugas produser dengan
bersungguh dan baik," ujar Aizat.
Lebih mendebarkan buat mereka adalah untuk berkongsi panggung dan
mempersembahkan lagu In Love With You ini secara langsung kepada para
penonton.
"Saya buat projek ini atas kepuasan. Saya seronok kerana kami berdua
memang serasi daripada segi minat dan stail. Saya tidak sabar untuk
berkongsi lagu ini dengan penonton," senyum Noh yang kini meminati
haiwan gajah.
"Melihat kepada sebuah kolaborasi, secara peribadi saya melihat
keterbukaan hati saya untuk perkara-perkara lain. Cara kami berkongsi
idea dan mahu menunggu respons dan pendapat peminat dan penonton. Mahu
juga lihat kemampuan diri sendiri," tambah Aizat yang mempelawa ayahnya,
Datuk Amdan Mat Din untuk muncul dalam klip video In Love With You
arahan Zul Luey daripada Luey Motion Lab.
Lalu penulis bertanyakan keperluan projek ini bagi Noh. Umum tahu
pergerakannya selama ini berteraskan grup dan berlangitkan kumpulan
Hujan yang sudah menempa nama dan cita rasa sendiri buat khalayak.
Kepuasan diri
"Memang Hujan itu Noh dan sebaliknya. Tetapi kalau melihat balik
kepada perjalanan Hujan, grup tersebut mempunyai tiga anggota yang
memberi sumbangan berbeza. Daripada segi susunan muzik pula, Hujan
didominasi oleh AG kerana dia memang pakar dalam penyusunan lagu. Noh
tidak pernah kacau dalam memberikan warna dalam Hujan. Jadi projek solo
ialah Noh yang mentah. Lebih segar," jelas Noh.
"Untuk projek grup ini, saya mencipta lebih banyak lagu. Kerinduan
untuk rock n roll juga membuatkan wujudnya projek ini," jelas Noh lagi.
"Tetapi saya akui, dulu waktu sedang berhempas pulas dengan Hujan
untuk menaikkan material kami kepada khalayak, senang untuk saya
berkarya. Idea datang mengalir begitu sahaja. Sekarang setelah saya
mampu beli semua kelengkapan untuk buat lagu, susah pula dapat idea.
Mungkin ini suatu ujian," ujar Noh namun dia bukan mengeluh.
"Lagu In Love With You ini ada unsur-unsur grup The Beatles tetapi
yang seronoknya ialah sebab lagu ini tidak boleh dibanding atau
disamakan secara terus dengan lagu The Beatles yang tepat. Dengar dan
orang akan kata macam The Beatles tetapi tidak tahu lagu yang mana satu.
Itu yang seronoknya. Malah kemelayuan dalam lagu ini juga kuat," kata
Aizat yang baru sahaja selesai dengan rakaman lagu-lagu untuk grup
projeknya, Go Gerila.
Salam kenal Noh, Aizat
Diminta mengimbas kembali momen mereka mula bertaut tali
persahabatan, kedua-duanya dengan mudah mengingati. Ujar Aizat, mereka
sering bertembung pada acara persembahan dan konsert. Pertemuan demi
pertemuan membuatkan mereka mula rapat dan senang bersembang dalam
gelombang muzik dan minat yang setara.
"Malaysia ini kecil sahaja, senang jumpa. Selalu sangat ada
persembahan. Ditambah pula minat kami yang sama dalam rock n roll, jadi
senang gel," kata Aizat yang mendalami bidang muzik di Britain pada
tahun lalu.
"Kebetulan pula kami duduk di Ampang sama-sama, jadi kami selalu juga
sarapan bersama. Selepas solat Subuh, kami telefon dan bertemu. Bukan
sahaja kami berdua tetapi juga bersama penyanyi Altimet," kata Noh yang
merupakan suami kepada penyanyi Mizz Nina.
"Keserasian dan keselesaan juga yang membuatkan Noh dan Altimet
dipilih untuk program umrah Aizat dahulu," tambah Aizat yang muncul
dalam program Umrah Kita bersama TV9.
Buat Aizat lagi, yang menarik tentang persahabatan mereka ini bukan
hanya berlatarkan muzik tetapi sikap hormat dan memahami antara satu
sama lain. Tahap setia kawan itu membuatkan mereka jadi sangat rapat dan
bersahabat dengan akrab.
"Kami tahu bila waktu masing-masing tidak boleh diganggu. Secara automatik jadi tahu," ketawa Noh.
"Selalunya kalau bertiga, borak tentang apa?" tanya penulis.
"Kehidupan, topik-topik serius dan muzik," jawab Noh.
"Awek!" jerit Aizat yang masih bujang dalam kelab sahabat Aizat, Noh dan Altimet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan