|
"SUATU peningkatan yang bagus tetapi kita masih perlu mencari skuad yang kuat... itu yang mustahak."
Itu reaksi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Syukor Salleh
ketika diminta mengulas kemenangan skuad Harimau Malaya ketika membenam
Sydney Olympic FC 4-0 pada aksi persahabatan di Padang Sukan Belmore,
Australia semalam.
"Perlawanan persahabatan adalah untuk menguji pemain dan mendapatkan kombinasi pemain-pemain dalam setiap posisi.
"Jurulatih ada hak untuk menerapkan taktikal yang sesuai dan kunci
kejayaan sesebuah pasukan adalah dapat mengawal bola dengan baik," jelas
Shukor kepada Kosmo! semalam.
Pada aksi semalam, Harimau Malaya yang tewas 2-3 kepada Canberra FC
dalam aksi sulung persahabatan Khamis lalu, membuka tirai jaringan
menerusi perancang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim seawal
minit kesembilan.
Penyerang gantian, Mohd. Amri Yahyah melengkapkan kemenangan bergaya
Harimau Malaya dengan meledak hatrik pada minit ke-50, ke-73 dan ke-89.
"Kita tidak boleh terlalu cepat untuk mendabik dada dengan kemenangan ini kerana perjalanan kita masih jauh.
"Ini kerana kita akan berdepan Bahrain untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober depan.
"Saya berharap jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dapat mengambil
kesempatan ini dengan membentuk skuad yang mantap," kata Syukor yang
membuat 215 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustafa turut senada dengan pandangan Syukor.
Hashim berkata, kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan suntikan
moral buat Harimau Malaya untuk terus memburu kejayaan di peringkat
antarabangsa.
"Ia akan menjadi satu motivasi yang bagus dengan kejayaan itu. Pada
pendapat saya, menang atau kalah dalam perlawanan persahabatan itu bukan
perkara utama.
"Sebaliknya, kita harus mencari satu formula untuk menguatkan skuad
negara. Para pemain dipilih berdasarkan prestasi terbaik mereka dalam
Liga Malaysia (Liga M).
"Apa pun, saya percaya Safee (Sali) dan Safiq masih mampu memberikan
sumbangan besar kepada skuad negara," katanya yang masih gah sebagai
penjaring terbanyak Liga M edisi 1994 apabila meledak 29 gol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan