MILAN - Itali akan menampilkan skuad terbaik bagi menghadapi kempen
Piala Konfederasi 2013 di Brazil yang akan membuka tirainya pada 15 Jun
ini.
Situasi itu dianggap sebagai medan pemanas badan terbaik dalam misi
melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di
lokasi yang sama.
Jurulatih Itali, Cesare Prandelli masih belum berpuas hati dengan kemampuan barisan utama skuad kendaliannya itu.
Pengendali berusia 55 tahun yang melakar kejayaan bersama Fiorentina
itu diberi kepercayaan untuk membimbing Itali bagi menggantikan tempat
Marcello Lippi sebaik sahaja skuad The Azzurri tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010.
Kegagalan Itali di Afrika Selatan turut menyaksikan beberapa pemain utama skuad The Azzurri meninggalkan skuad itu antaranya, Fabio Cannavaro, Gianluca Zambrotta, Mauro Camoranesi dan Gennaro Gattuso.
Prandelli memulakan tugasnya dengan baik apabila menjalin hubungan
rapat bersama pemain-pemain remaja dan berpengalaman sebelum dikritik
kerana menggunakan taktikal permainan yang tidak berkesan.
Bagaimanapun Prandelli berkata, beliau akan berpegang kepada
perancangannya untuk menjadikan Itali sebagai sebuah pasukan yang hebat.
"Ia telah diberitahu sebelum ini, kami akan melakukan banyak
perubahan tetapi perkara yang paling penting adalah kualiti permainan
bola sepak.
"Kami perlu memahami karakter pemain-pemain sebelum memikirkan model
taktikal yang mudah. Kami harus mencari semula identiti sebenar
pasukan," kata Prandelli.
Prandelli juga lebih berani mengurus pasukan apabila mengutamakan
pemain-pemain muda dalam skuadnya bagi menyesuaikan diri ketika
menentang pencabar-pencabar yang terpilih.
Selepas menggunakan dua penyerang AC Milan, Mario Balotelli dan
Stephan El Shaarawy ketika tewas kepada Perancis pada aksi persahabatan
antarabangsa, Prandelli mula menggandingkan Balotelli bersama Pablo
Asvaldo (Roma).
Pertukaran itu memaksa beliau menggunakan formasi 4-3-1-2 ketika
Itali menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Brazil di
Geneva yang berakhir dengan keputusan 2-2 pada Mac lalu.
"Kami ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama tetapi apa yang
penting kami masih dapat bersabar dan sentiasa mencari peluang untuk
menjaringkan gol," kata Prandelli. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan