BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan
Kassim mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecatnya daripada
PFA jika FAM berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana terus
mengkritik badan induk itu.
"Tak perlu gantung-gantung, pecat saja saya tetapi dengan syarat
jangan bagi PFA kacau saya lagi (minta saya bayar gaji pemain Perlis).
"Saya tidak mahu ada kaitan apa-apa lagi dalam persatuan itu," kata
Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita
selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di
Kuala Lumpur semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk
Azzuddin Ahmad yang menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk
menilai sama ada Shahidan wajar dibicara- kan lagi setelah terus
menerus mengkritik badan induk kebangsaan itu biarpun digantung selama
30 bulan.
Sambil mempertahankan tindakannya, Shahidan turut melahirkan rasa
terkilan apabila FAM hanya mengenakan hukuman ke atasnya sedangkan masih
ramai pemimpin yang mengkritik badan induk itu.
"(Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) Tan Sri Annuar Musa
keluarkan kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, mereka tidak kata
apa-apa.
"(Jurulatih Harimau Malaya) Datuk K. Rajagobal pun tak kena gantung.
Kalau saya, suka hati mahu hukum, ingat saya tiada kepentingan,
senang-senang mahu denda," jelas Shahidan.
Sabtu lalu, bekas Menteri Besar Perlis itu mengeluarkan kenyataan
berhubung kemarahannya terhadap FAM yang telah menggantungnya tetapi
tiada pegawai badan induk tersebut yang bertanya khabar PFA.
Shahidan juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit
sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden skuad
Singa Utara dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah
kewangan.
Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 dan hilang
status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM
dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan