MADRID - Real Madrid bakal memecahkan rekod perpindahan dunia seandainya berjaya melamar Gareth Bale.
Pemain sayap Tottenham Hotspur itu telah lama dikaitkan bersama Real
dengan yuran perpindahan mega bernilai £85 juta (RM402.5 juta).
Jika perpindahan ke Stadium Santiago Bernabeu itu menjadi kenyataan,
ia bakal mengatasi rekod £80 juta (RM378.9 juta) yang dibayar Real bagi
mendapatkan Cristiano Ronaldo daripada Manchester United empat tahun
lalu.
"Perbincangan bagi mendapatkan Bale bukan satu rahsia lagi.
"Berdasarkan prestasi semasanya yang cukup hebat musim lalu, sudah
tentu banyak kelab terkemuka di dunia mahu mendapatkan khidmat Bale.
"Mana-mana kelab yang berhasrat pastinya mengeluarkan perbelanjaan seperti itu.
"Ketika ini, terdapat empat atau lima kelab yang sanggup mengeluarkan
perbelanjaan sebanyak itu bagi mendapatkan khidmat Bale," kata legenda
Perancis, Zinedine Zidane yang juga Pengarah Sukan Real.
Dalam pada itu, Presiden Real, Florentino Perez menegaskan bahawa
Ronaldo menyimpan hasrat untuk meneruskan kariernya bersama kelab
gergasi Sepanyol tersebut.
Akhbar SunSport kelmarin melaporkan, United semakin terdesak untuk membawa kembali Ronaldo ke Old Traf-ford dengan harga £65 juta (RM315 juta).
Sebelum ini, pemain sayap Portugal berusia 28 tahun itu ada
menyuarakan minat bahawa dia mahu keluar dari Stadium Santiago Bernabeu
selepas kontraknya tamat pada 2015.
Namun Perez memberitahu, Ronaldo sudah bersedia untuk membincangkan tentang terma baharu kontraknya bersama Real.
"Sasaran saya serta sasaran peminat-peminat Real adalah kami mahu dia (Ronaldo) kekal di di sini untuk jangka masa lebih lama.
"Apabila terlalu ramai orang mengharapkan dia kekal, pasti perkara itu akan menjadi kenyataan.
"Tiada yang lebih utama melainkan untuk melihat perkara itu menjadi kenyataan," jelas Perez.
Perez turut optimis Ronaldo bakal menjadi pemain legenda Real serta
tersenarai bersama Alfredo Di Stefano yang telah menjadi antara pemain
tersohor kelab itu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan