PEMAIN sayap lincah negara, Wan Zack Haikal Wan Nor tidak akan terpengaruh dengan sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan.
Sebaliknya, Wan Zack menegaskan bahawa dia mahu memberikan fokus sepenuhnya bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu.
"Saya harus menghormati kontrak dua tahun bersama FC Ryukyu. Saya
juga menghormati majikan saya. Masih terlalu awal untuk mengatakan saya
akan pulang ke Malaysia.
"Lagipun, saya hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan bersama FC
Ryukyu. Saya perlu berusaha dengan lebih keras untuk memberikan aksi
yang terbaik kepada pasukan.
"Saya akui, kecederaan buku lali yang saya alami sedikit sebanyak
memberikan kesan terhadap prestasi saya. Ditambah dengan masalah
kesukaran komunikasi dengan pihak perubatan FC Ryukyu, ia agak
melambatkan proses pemulihan saya.
"Namun, selepas mendapat bantuan daripada jurulatih Harimau Muda, Ong
Kim Swee, saya yakin perkara itu akan diselesaikan dengan cara lebih
profesional," kata Wan Zack ketika dihubungi Kosmo! di Okinawa, Jepun semalam.
Kosmo! sebelum ini mendedahkan bahawa Wan Zack telah dilamar oleh
beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) sehingga mencetuskan rasa kurang
senang Kim Swee.
Kim Swee turut mengesahkan terdapat beberapa percubaan pasukan
tempatan cuba menebus kontrak pemain berusia 22 tahun itu dengan FC
Ryukyu.
Mengulas lanjut, Wan Zack berkata, dia tidak akan membelakangi Kim Swee sekiranya berhasrat untuk meninggalkan FC Ryukyu.
"Mengenai tawaran itu (daripada pasukan-pasukan Liga M), saya tidak
cepat pengaruh dan saya telah merujuk perkara tersebut dengan Kim Swee.
"Apa yang pasti, saya hanya berminat untuk kembali bersama Harimau Muda A, bukan dengan pasukan dalam Liga M.
"Ini kerana, berdasarkan perjanjian, sekiranya mereka (FC Ryukyu)
tidak berhasrat melanjutkan kontrak saya, saya hanya dibenarkan kembali
menyertai Harimau Muda A.
"Apa yang pasti, Harimau Muda A adalah keutamaan saya, bukan
pasukan-pasukan lain sekiranya jodoh saya dengan FC Ryukyu tidak
berpanjangan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN),
Datuk Seri Zolkples Embong memberi amaran agar tidak ada mana-mana
pasukan tempatan 'mengganggu' Wan Zack.
"Kalau betul ada kelab tempatan yang cuba memancing Wan Zack daripada
kelab Jepun itu sekarang, saya rasa ia sepatutnya tidak berlaku.
"Wan Zack hanya bermain dalam satu perlawanan sahaja dan kita juga
masih belum tahu tahap kemampuan dia untuk bersaing dengan pemain-pemain
terbaik di Liga Jepun.
"Jadi, kalau ada pihak yang mengganggu program dia, ini sudah pasti
akan merugikan semua pihak, bukan sahaja Wan Zack atau jurulatih yang
rugi tetapi seluruh negara akan rasa perkara yang sama," tegas Zolkples.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan