Selasa, 4 Jun 2013

Mourinho tampil 'lebih matang'


LONDON - Pengurus yang sinonim dengan panggilan The Special One, Jose Mourinho kembali menerajui pasukan lamanya, Chelsea.

Bagaimanapun, Mourinho kini berada dalam situasi lebih matang dan beliau sudah bersedia untuk membina empayar yang lebih besar di Stamford Bridge.

"Kami akan bersatu kembali untuk memastikan detik kegemilangan pasukan ini berterusan. Kami juga sudah bersedia untuk 'berkahwin' semula dan saya sangat gembira dengan keputusan ini.
"Saya tidak menganggap diri saya hanya sebagai pengurus Chelsea. Sejak kali pertama saya sampai di sini, saya sudah jatuh cinta dengan kelab ini," kata Mourinho selepas beliau menandatangani kontrak selama empat tahun bersama skuad The Blues kelmarin.

Mourinho, 50, berkata, beliau sangat gembira dan berbangga apabila membuat keputusan untuk kembali membimbing Chelsea.

Keputusan itu dibuat bukan kerana rekod cemerlangnya sebelum ini tetapi kerana beliau masih ada misi yang belum selesai bersama skuad The Blues
.
Untuk rekod, Mourinho meninggalkan Real Madrid minggu lalu selepas tiga tahun membimbing kelab gergasi Sepanyol itu.

Ketika bersama Chelsea sebelum ini, Mourinho pernah menjulang trofi Liga Perdana England pada musim 2005, 2006 dan satu Piala FA serta dua Piala Liga (2004 dan 2007).
Sebaik dipecat Chelsea, Mourinho telah berhijrah ke Inter Milan. 

Beliau turut berjaya menghadiahkan Milan satu trofi Liga Juara-Juara sebelum menyertai Real Madrid.

"Saya sedar, di sini budaya bola sepak mereka agak berbeza tetapi saya berazam untuk meneruskan evolusi saya selaku pengurus serta jurulatih yang berjaya.

"Pada pendapat saya, kini saya telah tiba di kelab saya, Chelsea dan ia merupakan detik paling indah dalam kerjaya saya sebagai pengurus," kata Mourinho. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan