Ahad, 9 Jun 2013

Posisi Casillas belum terjamin


MADRID - Penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas tidak mengetahui nasibnya bersama skuad Sepanyol pada kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil, 15 Jun ini.

Casillas berkata, dia belum pasti akan disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas tidak beraksi pada perlawanan kompetitif selama empat bulan.

Casillas diturunkan ketika Sepanyol menang tipis 2-1 ke atas Haiti pada perlawanan persahabatan di Miami awal pagi semalam.

Casillas memberitahu, dia mahu beraksi lebih kerap selepas diketepikan bekas jurulatih Real, Jose Mourinho.

"Tempoh itu terasa seperti sangat lama tetapi saya juga harus melihatnya dari sudut positif dan saat-saat seperti ini adalah sesuatu yang sangat bagus.

"Saya gembira tetapi saya juga berasa sedikit gementar kerana sudah lama tidak beraksi.
"Saya rasa, saya perlu merebut semula tempat saya, namun seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya akan melakukannya tanpa sebarang kelebihan kerana mahu menghormati rakan sepasukan lain.

"Saya kena berebut tempat ini dengan Pepe (Reina) dan Victor (Valdes) untuk memenangi posisi ini dan membantu pasukan kami," kata Casillas.

Pada aksi persahabatan semalam, Casillas berjaya menghalang pintu golnya daripada dibolosi selama 45 minit permainan ketika juara dunia itu mendahului 2-0 hasil jaringan Santi Cazorla dan Cesc Fabregas.

Begitupun, skuad kendalian Vicente del Bosque itu mula keletihan dan dibolosi satu gol pada minit ke-70 hasil percubaan menarik Wilde Guerrier yang menewaskan Reina, pengganti kepada Casillas pada babak kedua. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan