LONDON - Robin van Persie mendedahkan bahawa persaraan bekas pengurus
Alex Ferguson telah mengejutkan pemain-pemain Manchester United.
Penyerang Belanda itu menjelaskan, dia dan rakan sepasukannya terkedu
seketika apabila Ferguson memberitahu bahawa beliau akan menamatkan era
selama 27 tahunnya sebagai pengurus bulan lalu.
"Ferguson masuk ke dalam bilik persalinan dan perkara pertama yang diucapkannya ialah dia akan bersara.
"Saya terdiam buat seketika dan menggelengkan kepala. Adakah benar katanya seperti yang saya dengar ini?
"Suasana dalam bilik persalinan menjadi senyap sunyi dan kemudian semua orang mula menunjukkan emosi masing-masing.
"Ferguson kemudian berbicara panjang dengan skuad kami. Saya dapati
ucapannya sangat istimewa dan berasa amat berharga kerana dapat
menyaksikannya sendiri.
"Ia adalah satu detik bersejarah dalam bola sepak walaupun saya
kurang gembira mendengar ucapannya itu," kata penyerang Belanda berusia
29 itu.
Van Persie yang baharu dilantik memegang peranan kapten skuad Belanda
turut mendedahkan, dia telah melepaskan peluang untuk memperoleh
pendapatan yang lumayan daripada syarikat pengiklanan.
"Satu tawaran lumayan telah diberikan kepada saya tetapi saya adalah
jenis individu yang menghadkan setiap apa yang saya lakukan.
"Saya tidak akan melakukan banyak perkara seperti ini. Apabila saya
melakukan sesuatu, ia adalah kerana saya menyokong dengan sepenuhnya,"
kata bekas penyerang Arsenal itu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan